Oleh Firdaus Mul
27 Februari 2023, 10:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ampang – Baru-baru ini, satu inisiatif atau yang dikenali sebagai Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di bawah Kementerian Ekonomi dilancarkan pada 26 Februari 2023 bertempat di Tempat Letak Kereta LRT Cempaka, Ampang. Program itu dirasmikan oleh YB Rafizi Ramli, yang juga merupakan Menteri Ekonomi Kerajaan Malaysia.

Menurut beliau, Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) merupakan satu inisiatif Kementerian Ekonomi yang secara khusus memfokuskan kepada golongan miskin tegar dan golongan yang berpendapatan B40. Beliau menambah usaha kerajaan untuk membasmi miskin tegar sudah pun bermula sejak 70 tahun lalu. Pihak kerajaan sedaya upaya untuk menangani masalah itu dan mengenal pasti beberapa masalah bagi memastikan program itu mencapat matlamatnya.

Antara cabaran pembasmian miskin tegar yang dinyatakan oleh YB Rafizi Ramli dalam majlis pelancaran inisiatif tersebut;

  1. Proses pemetaan & pengesahan miskin tegar.
  2. Pemutihan senarai miskin tegar.
  3. Kegiatan penjanaan pendapatan tidak berkekalan.
  4. Risiko kegiatan penjanaan pendapatan – lokasi, persaingan, kemahiran.
  5. Kelangsungan penjanaan pendapatan.
  6. Risiko tergelincir kembali ke kategori miskin tegar.

Jelas beliau lagi, proses paling penting untuk membasmi kemiskinan tegar adalah mewujudkan satu ekosistem yang berkesan. Antara ekosistem IPR yang akan diwujudkan;

  • Pertanggungjawaban berkumpulan dalam kalangan penerima bantuan dalam Inisiatif Pendapatan Rakyat – diwajibkan menyertai Koperasi Basmi Miskin Tegar (KOBMIT).
  • Bimbingan akar umbi yang berterusan daripada kumpulan lain untuk membolehkan mereka berdaya saing dan membina upaya – melibatkan pembimbing komuniti dan peserta B40.
  • Bantuan bulanan selama 24 bulan – tempoh masa penjanaan pendapatan yang dibimbing dan ada kawal selia.
  • Aktiviti penjanaan pendapatan yang dipilih dan penerima dipadankan mengikut templat yang disediakan – aktiviti dipadankan dengan rantaian permintaan setempat.

Tegas beliau lagi, ekosistem itu dibentuk dengan tiga kumpulan utama. Kumpulan pertama ialah penerima (isi rumah miskin tegar dan isi rumah B40), kumpulan kedua ialah pembimbing (terdiri daripada pelbagai kumpulan-peniaga-peniaga, NGO, sukarelawan setempat) dan kumpulan ketiga ialah rakan niaga atau rakan strategik. Kita mahu pastikan bahawa program kerajaan dalam membasmi kemiskinan bukan semata-mata memberi bantuan, tetapi memberikan sokongan yang lain berdasarkan ekosistem negara supaya mereka dapat keluar dari kelompok kemiskinan.

Dalam pada itu, beliau juga menyatakan IPR bermula dengan tiga templat utama iaitu Inisiatif Usahawan Tani (INTAN), Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN). Beliau juga menjelaskan antara sasaran Kementerian Ekonomi bagi tahun 2023 adalah memastikan seramai 100 000 isi rumah miskin tegar dan golongan B40 mendapat manfaat dengan peruntukan RM750 juta. Turut hadir dalam majlis pelancaran insiatif tersebut Menteri Besar Selangor, YB Dato’ Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Negeri Sembilan,YB Dato’ Seri Haji  Aminuddin Harun.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.