Oleh Firdaus Mul
22 Februari 2023, 15:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Berbaki beberapa hari lagi belanjawan negara bagi tahun 2023 akan dibentangkan di Dewan Rakyat. Menyentuh perihal belanjawan 2023, baru-baru ini dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia anjuran RTM telah menampilkan Prof. Madya Dr. Norlin Khalid yang juga merupakan Pensyarah Kanan di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia bagi mengupas topik berkenaan “Pra Belanjawan 2023: Tangani Kos Sara Hidup. Beliau membuka tirai perkongsiannya dengan menyentuh berkenaan tema belanjawan 2023. Menurut beliau, umum mengetahui bahawa tema bagi belanjawan 2023 adalah Malaysia Madani. Belanjawan tersebut akan memberi tumpuan terhadap hasrat YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mahu menjadikan Malaysia sebagai satu negara yang makmur dan sejahtera yang berpandukan konsep Madani yang telah digariskan.

Beliau menjangkakan bahawa belanjawan yang bakal dibentangkan akan memberikan keutamaan kepada pertumbuhan ekonomi negara. Pihak kerajaan dijangka akan melakukan penstrukturan semula program atau projek berdasarkan kepada keadaan ekonomi global semasa. Beliau turut mengupas perihal pendekatan untuk menstrukturkan semula subsidi. Beliau berpendapat bahawa langkah penstrukturan subsidi merupakan langkah yang tepat. Beliau menyatakan bahawa pihak kerajaan perlu menukar dasar subsidi penuh kepada dasar struktur baharu yang dapat membantu golongan yang lebih memerlukan.

Beliau turut menyentuh perihal harga barang mentah dan harga barang akhir. Beliau menyatakan bahawa secara umumnya harga barang mentah memang sangat mempengaruhi harga barang akhir. Beliau menambah kenaikan harga barang kini dipengaruhi oleh faktor luaran seperti krisis perang dan gangguan rantaian bekalan global. Oleh itu, beliau mencadangkan bahawa pihak kerajaan perlu merangka program yang menggalakkan masyarakat untuk menceburi bidang pertanian dan penternakan bagi menjamin sekuriti makanan negara. Langkah itu dapat mengurangkan kebergantungan kepada makanan import dan dapat mengurangkan harga akhir kepada pengguna.

Beliau juga turut mengupas perihal kenaikan tangga gaji dengan kuasa beli. Beliau menyatakan bahawa kuasa beli pengguna bukan sekadar ditentukan oleh harga barang malah turut ditentukan oleh hasil pendapatan gaji yang diterima. Tegas beliau lagi, jika berlakunya kenaikan harga barang tetapi dalam masa yang sama jumlah pendapatan turut meningkat sama atau lebih tinggi maka pengguna tidak mempunyai masalah dengan kenaikan harga barang, sebagaimana yang berlaku di negara maju. Namun, kenaikan harga barang tidak dapat dielakkan kerana kos pengeluaran sentiasa meningkat.

Oleh itu, salah satu cara untuk mengatasi masalah ini ialah meningkatkan pendapatan. Persoalannya, bagaimana belanjawan 2023 boleh meningkatan pendapatan dengan meningkatkan produktiviti pekerja? Beliau mencadangkan bahawa pihak kerajaan perlu meningkatkan produktiviti dengan melaksanakan program reskilling ataupun upskilling. Pada akhir wawancara itu, beliau juga sempat menyatakan harapan berkenaan golongan wanita dalam belanjawan 2023 yang bakal dibentangkan tidak lama lagi. Beliau berharap agar pihak kerajaan tidak meminggirkan golongan wanita kerana golongan wanita juga memainkan peranan penting dalam pembangunan negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.