Oleh Firdaus Mul
21 Februari 2023, 15:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Isu hutang negara merupakan salah satu isu utama yang menjadi tumpuan di Parlimen baru-baru ini. Menyentuh perihal isu hutang negara, baru-baru ini dalam sesi rancangan Malaysia Petang Ini anjuran BERNAMA TV telah menampilkan Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid yang juga merupakan seorang penganalisis ekonomi di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School bagi mengupas topik “Melunas Hutang Negara Tanpa GST”.

Beliau menjelaskan pandangan beliau berkenaan langkah kerajaan yang bertindak untuk tidak memperkenalkan semula sistem cukai GST. Beliau menyatakan bahawa pada masa ini bukanlah masa yang sesuai untuk memperkenalkan semula sistem cukai GST disebabkan oleh keadaan ekonomi masyarakat. Hal ini demikian kerana masyarakat pada masa ini tertekan dengan peningkatan kos sara hidup dan terpaksa mengharapkan bantuan subsidi kerajaan.

Selain itu, mekanisme sistem cukai GST di Malaysia masih belum mantap dan berkesan. Beliau menambah pelaksanaan sistem cukai GST memerlukan timbal balik kerana GST merupakan cosumption tax. Beliau turut menyatakan bahawa kerajaan perlu mewujudkan keseimbangan sekiranya GST kembali dilaksanakan. Tambah beliau lagi, kerajaan perlu melakukan kajian secara terperinci dan mendalam sebelum GST dilaksanakan semula. Kerajaan perlu mengenal pasti barangan dan perkhidmatan yang perlu dikenakan GST supaya tidak menimbulkan kekeliruan kepada para pemain industri dan masyarakat. Kajian yang dilakukan tersebut juga perlu mendapatkan pandangan dan libat urus masyarakat supaya mereka dapat menerima pelaksanaan GST.

Pada akhir program itu, beliau sempat mengutarakan pendapat tentang asas hasil yang boleh dijana bagi meningkatkan pendapatan negara. Menurut beliau, beliau mahu kerajaan mengutip cukai daripada ekonomi hitam. Ekonomi hitam merupakan jenis perniagaan yang tidak didaftarkan, contohnya berniaga di tepi jalan. Perniagaan itu tidak mendaftar, tidak mengambil pinjaman dan tidak mempunyai rekod untuk mengutip cukai. Oleh itu, sektor ini dikenali sebagai ekonomi hitam. Statistik yang dikeluarkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negara (LHDN) menganggarkan bahawa ekonomi hitam di Malaysia sekitar 21% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dalam lingkungan RM300 billion. Oleh itu, pihak kerajaan harus merangka mekanisme yang membolehkan kerajaan mengutip cukai daripada sektor ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.