19 Februari 2023, 10:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – “Kenaikan gaji satu hingga  20 peratus perlu dilaksanakan oleh majikan berdasarkan kemahiran, kelulusan dan pengalaman pekerja.”

Demikian kenyataan Dato’ Wira Haji Mahfuz Omar, mantan Timbalan Menteri Sumber Manusia. Menurut beliau, jika gaji yang dibayar kepada pekerja setimpal dengan kemahiran yang dimiliki, produktiviti sesebuah syarikat akan meningkat dan memberikan keuntungan serta pulangan yang lebih baik kepada majikan.

Ujarnya, sebahagian besar majikan di Malaysia tidak membayar gaji para pekerja mereka berdasarkan kredibiliti pekerja dan hanya akur pada syarat gaji minimum. Beliau berpendapat bahawa majikan perlu mengambil kira kemahiran, kelulusan dan pengalaman yang dimiliki oleh pekerja apabila gaji dinaikkan lebih daripada kadar gaji minimum. Beliau percaya bahawa syarikat- syarikat besar atau majikan di Malaysia ini mempunyai teknologi yang canggih dan mampu merealisasikan pelarasan gaji antara tiga hingga 20 peratus.

Jika seseorang pekerja dalam syarikat memenuhi kriteria yang disebutkan, maka majikan perlu menaikkan gajinya walaupun tidak sampai 20 peratus peningkatannya.

Ulasnya lagi, kementerian hanya boleh menguatkuasakan kadar gaji minimum dan memberikan garis panduan kepada majikan sahaja. Sekiranya ekonomi Malaysia beransur pulih, gaji para pekerja harus turut dinaikkan. Dengan kenaikan tersebut akan memberikan kesan positif terhadap ekonomi negara.

Laporan pasaran pekerjaan dan trend gaji  2023 yang diterbitkan oleh Randstand mencatatkan bahawa peningkatan  kos sara hidup dan inflasi di Malaysia akan memberikan impak terhadap kemampuan untuk membeli barang keperluan serta gaya hidup.

Oleh itu, pelarasan gaji antara tiga hingga 20 peratus perlu diberikan kepada para pekerja bergantung kepada industri. Industri pertumbuhan tinggi seperti teknologi dan pembuatan bakal menyaksikan perubahan yang lebih besar dalam penstrukturan gaji dalaman.

Kenaikan gaji pekerja bukanlah berpunca daripada pengurangan dalam permintaan pengambilan pekerja baharu. Datuk Wira Haji Mahfuz Omar, menjelaskan lagi bahawa pengurangan dalam pengambilan pekerja baharu tidak akan berlaku sekiranya gaji dinaikkan. Hal ini kerana syarikat masih perlu mengambil pekerja baharu sekiranya mahu menambah pelaburan.

“Pengambilan pekerja pula bergantung kepada permintaan produk. Sekiranya permintaan produk melebihi permintaan, majikan perlu menambah pekerja dalam syarikatnya. Sektor pembinaan juga merupakan salah satu industri yang sentiasa berkembang dan memerlukan pekerja bagi menghasilkan produktiviti yang banyak.”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.