8 Februari 2023, 15:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bank Dunia menyatakan bahawa Malaysia perlu meninjau sumber pendapatan baharu bagi memantapkan kedudukan fiskalnya memandangkan pendapatan kerajaan berada dalam aliran menurun sejak 2012.

Ketua Pakar Ekonomi Malaysia Bank Dunia, Dr Apurva Sanghi menyatakan bahawa pembinaan semula penampan fiskal harus dipacu dengan meningkatkan kutipan hasil dan kecekapan perbelanjaan yang lebih baik. Beliau menambah terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk menjadikan ekonomi lebih kukuh, termasuk mengukuhkan cukai penggunaan, memperluas asas cukai pendapatan peribadi, dan menyelaras pelepasan cukai.

Beliau turut menyatakan bahawa Malaysia harus beralih daripada ekonomi kepenggunaan kepada ekonomi diterajui pelaburan yang secara langsung akan meningkatkan gaji pekerja tempatan. Dalam masa yang sama, kerajaan mengubah subsidinya secara beransur-ansur kepada subsidi yang lebih berfokus kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah. “Sementara itu, peralihan beransur-ansur kepada subsidi yang lebih bersasar akan membantu subsidi berfungsi dengan lebih baik terhadap isi rumah berpendapatan rendah,” katanya dalam taklimat media mengenai Pemantauan Ekonomi Malaysia terkininya bertajuk ‘Expanding Malaysia’s Digital Frontier’ di Kuala Lumpur.

Mengenai jangkaan pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi tahun 2023, Pengurus Negara Bank Dunia bagi Malaysia, Dr Yasuhiko Matsuda, menyatakan bahawa ekonomi negara ini dijangka berkembang 4.0% tahun ini di walaupun jangkaan permintaan luaran yang perlahan. Pakar ekonomi itu menambah walaupun ekonomi dunia berkembang perlahan, Malaysia tidak mungkin mengalami kemelesetan pada tahun ini.

Ekonomi negara masih kukuh dengan pasaran pekerjaan bertambah baik dan keadaan politik juga bertambah baik. “Walaupun ekonomi global dijangka perlahan, Malaysia berada dalam kedudukan baik untuk mencatatkan pertumbuhan meskipun dijangka lebih perlahan berbanding pertumbuhan kukuh di luar jangkaan tahun lalu yang dijangka sekitar 8.0%. “Prestasi kukuh pada tahun 2022 sebahagiannya dipacu oleh pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang menyumbang kepada penggunaan swasta yang tinggi di Malaysia berbanding negara lain,” jelasnya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.