Oleh Firdaus Mul
7 Februari 2023, 19:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sistem percukaian yang efektif akan membantu meningkatkan pendapatan ekonomi sesebuah negara. Oleh itu, kaedah sistem percukaian yang dilaksanakan seharusnya menjadi salah satu agenda tumpuan sesebuah negara bagi memperkasakan kemampanannya. Dr.Zulkufli Zakaria, penganalisis strategik ekonomi membicangkan sistem percukaian berdasarkan topik “Malaysia Madani: Pembaharuan Konsep Percukaian, Perkasa Kemampanan Negara” dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia. Beliau menyatakan bahawa terdapat pertalian yang erat antara sistem percukaian dengan politik negara yang sudah seawal 1880-an. Tegas beliau lagi, sistem percukaian sedia ada seharusnya dikaji semula, terutamanya melibatkan golongan yang dikenakan sistem sistem cukai.

Beliau menyatakan bahawa mekanisme sistem percukaian harus dimantapkan bagi memastikan tiada pihak lari daripada membayar cukai. Beliau memberikan cadangan untuk mengenakan cukai kepada warga asing yang bekerja di Malaysia. Ujar beliau, bilangan tenaga asing yang bekerja di Malaysia agak tinggi dan kerajaan perlu mencari mekanisme cukai yang sesuai bagi golongan tersebut. Beliau juga menyatakan bahawa kerajaan perlu melakukan penjenamaan semula perlaksanaan sistem percukaian.

Pertama, beliau menyarankan agar pihak yang terlibat melakukan pengubahsuaian sistem cukai mengikut keadaan ekonomi semasa. Berdasarkan pengamatan akademik, ketika kerajaan melaksanakan sistem cukai GST, beberapa lapisan yang terkena impaknya. Sistem rebat yang ada dalam GST kurang cekap kerana mereka yang terlibat hanya mendapat rebat selepas empat bulan dan cukai dikenakan 20% sekiranya lambat mendapat rebat. Akhirnya, keadaan itu membebankan rakyat sehinggakan rakyat tidak mampu membayar cukai. Beliau mengulas bahawa pihak yang dikenakan cukai perlu menunaikan tanggungjawab mereka kerana mereka akan menikmati faedah cukai tersebut.

Beliau juga menegaskan bahawa sistem data amat penting bagi menentukan pelaksanaan sistem cukai yang baharu terutamanya berkenaan golongan yang dikenakan cukai. Hal ini demikian kerana sistem data yang menyeluruh akan membantu pelaksanakan sistem cukai baharu yang lebih baik. Beliau menyarankan agar diwujudkan sistem cukai alam sekitar atau yang dikenali sebagai cukai karbon kepada pemain industri seperti yang dilaksanakan oleh negara maju seperti New Zealand, United Kingdom, Korea Selatan, Sweden, dan lain-lain lagi.

Pelaksanaan cukai tersebut boleh memberikan dua kesan utama iaitu hasil kutipan cukai boleh diagihkan sebagai pulangan balik kepada rakyat dan yang kedua dapat memberikan pendidikan kepada pemain industri agar peka terhadap isu alam sekitar sekali gus dapat mengurangkan pelepasan gas yang boleh menyebabkan pencemaran. Pada akhir temu bual, beliau berharap agar sistem percukaian dan polisi percukaian harus diubahsuai serta kerajaan dapat membantu syarikat PKS dan syarikat yang sudah sedia ada untuk menjayakan Green House. Beliau juga mengharapkan agar politik dan ekonomi dapat disatukan agar segala perancangan dapat dilaksanakan dengan baik supaya rakyat dapat memahami matlamat kerajaan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.