18 Januari 2023, 16:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Davos – Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) ke-53 yang berlangsung selama empat hari mulai 16 Januari 2023 telah menghimpunkan seramai 2700 pemimpin yang mewakili 130 negara termasuk 52 ketua negara di Pergunungan Alps, Switzerland. WEF kali ini mengangkat tema “Kerjasama dalam Dunia Terpisah: Menangani Krisis Mendesak, Mengendalikan Cabaran Masa Depan” di tengah-tengah pelbagai krisis yang hanya meningkatkan lagi perpecahan serta pemisahan landskap geopolitik dunia.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, telah mengetuai delegasi Malaysia ke WEF 2023 dan berperanan sebagai ahli panel yang membincangkan isu Perdagangan Global: Menerajui Cabaran Rantaian Bekalan Pascapandemik. Dalam slot buat bicara tersebut, beliau berpasangan dengan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan DP World yang berpangkalan di Dubai, iaitu Sultan Ahmed bin Sulayem.

Dalam sesi tersebut perbincangan tersebut memberikan tumpuan tentang isu sama ada kuasa makroekonomi seperti inflasi, ketegangan geopolitik, lonjakan harga komoditi, gangguan rantaian bekalan dan kekangan kapasiti akan berterusan pada tahun 2023 dan cara untuk syarikat mencipta rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan.

Keutamaan krisis makroekonomi ini turut diakui oleh Pengasas dan Pengerusi Eksekutif WEF, Klaus Schwab yang berkata, “Kita dapat melihat bahawa kuasa politik, ekonomi dan sosial mewujudkan perpecahan yang mendadak pada peringkat global serta nasional.”

“Dalam usaha menangani punca hakisan kepercayaan ini, kita sebaliknya perlu memperkukuh kerjasama antara kerajaan dengan sektor perniagaan serta mewujudkan suasana pemulihan yang kukuh dan berterusan,” tegas beliau ketika sesi forum berlangsung.

Mengenai pembukaan ruang “Malaysia House” buat kali pertama di Davos bersempena dengan WEF, Tengku Datuk Seri Zafrul berkata, hal tersebut merupakan pendekatan yang baik supaya kehadiran Malaysia dirasai.

“Negara lain telah mengambil pendekatan ini sejak beberapa tahun lalu. Kita mahu kehadiran kita dirasai. Kehadiran yang lebih kuat daripada sebelum ini,” katanya.

Selain itu, beliau juga menyifatkan bahawa WEF sebagai antara platform terbaik yang membuka peluang pelaburan asing di Malaysia dan mencetuskan peningkatan pelaburan yang sedia ada.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.