Oleh Ritah Yahaya
31 Oktober 2022, 10:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tanjung Malim – Bersempena dengan 100 tahun Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Pejabat Karang Mengarang, UPSI menganjurkan Pesta Buku Sempena 100 Tahun UPSI dan Fiesta Buku Mualim 2022.

Pesta buku ini disertai oleh 25 pemaper yang terdiri daripada penerbit  buku dari pelbagai agensi awam dan swasta, termasuklah penerbit universiti, dari seluruh negara.

Penganjuran Pesta Buku Sempena 100 Tahun UPSI dan Fiesta Buku Mualim 2022 bertujuan meningkatkan keterlihatan UPSI melalui program penerbitan dan pemasaran buku oleh Pejabat Karang Mengarang, UPSI.

Pesta Buku Sempena 100 Tahun UPSI dan Fiesta Buku Mualim 2022 ini dirasmikan oleh YB Ahmad Saidi Muhamad Daud, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Negeri Perak.

Dalam majlis perasmian pagi ini yang turut dihadiri oleh YBhg. Puan Sri Datuk Seri Rohani Parkash Abdullah, YB Ahmad Saidi juga melancarkan beberapa buah buku baharu terbitan UPSI, kedai buku dan kedai buku secara dalam talian UPSI dan kad UPSI Privilege.

Menurut Naib Canselor UPSI, Profesor Dato’ Dr. Md Amin Md Taff, pesta buku yang menyediakan pelbagai kegiatan ini bakal menarik minat sebanyak 10 0000 orang masyarakat di sekitar Tanjung Malim.

Sementara itu, YB Ahmad Saidi menyatakan bahawa UPSI berperanan penting dalam kemenjadian pelajar melalui ilmu pendidikan agar mereka dapat memberi sumbangan yang besar kepada bangsa dan negara. Kemenjadian pelajar dapat dipupuk melalui budaya cinta akan buku dan ilmu seperti cogan kata, “Buku Jendela Dunia”.

Universiti Pendidikan Sultan Idris merupakan universiti pendidikan pertama di Malaysia. Pada peringkat awal UPSI dikenali sebagai Sultan Idris Training College for Malay Teachers (SITC).

Penubuhan SITC diilhamkan oleh Richard Olaf Winstedt (R. O. Winstedt) yang pernah berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Pelajaran Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu menerusi laporannya yang disiarkan dalam tahun 1917. Antara lain beliau mencadangkan agar sebuah maktab perguruan didirikan di Perak bagi memperluas skop pendidikan di negara ini.

SITC dirasmikan oleh Sir George Maxwell, Ketua Setiausaha Negara pada 9 November 1922. Pada tahun 1959, bagi memenuhi tuntutan Laporan Razak, SITC ditukarkan namanya kepada Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) yang khusus untuk melatih guru-guru sekolah rendah.

Pada 21 Februari 1987, MPSI dinaikkan taraf menjadi institut dan dikenali dengan nama Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI).Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)  diisytiharkan sebagai sebuah universiti pada 1 Mei 1997 melalui Warta Kerajaan P.U.(A) 132 & 133 pada 24 Februari 1997, di bawah dua buah Perintah iaitu Perintah Universiti Pendidikan Sultan ldris (Perbadanan) 1997 dan Perintah Universiti Pendidikan Sultan ldris (Kampus) 1997.

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)  diisytiharkan sebagai sebuah universiti pada 1 Mei 1997 melalui Warta Kerajaan P.U.(A) 132 & 133 pada 24 Februari 1997, di bawah dua buah Perintah, iaitu Perintah Universiti Pendidikan Sultan ldris (Perbadanan) 1997 dan Perintah Universiti Pendidikan Sultan ldris (Kampus) 1997.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.