22 September 2022, 12:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ramai pekerja yang kurang cakna atau tidak tahu akan kepentingan surat penyelesaian cukai (SPC) sekiranya mereka akan berhenti kerja atau bersara kelak. Sebagai pekerja yang bertanggungjawab, kita seharusnya tahu tindakan yang perlu diambil supaya amaun ganjaran dan manfaat yang akan dinikmati selepas bersara atau berhenti kerja diperoleh dengan segera dan amaun tersebut tidak dipotong untuk menjelaskan apa-apa cukai tertunggak akibat kegagalan melaporkan pendapatan terdahulu sebelum berhenti kerja.  Mungkin ramai tertanya-tanya apa yang perlu dilakukan khususnya berkaitan percukaian sekiranya ingin menamatkan perkhidmatan bersama majikan sekarang.

Rencana ni akan menjawab persoalan yang sering ditanya mengenai perkara ini.

  • SPC merupakan perakuan yang dikeluarkan oleh HASiL kepada majikan berkaitan hal ehwal cukai pendapatan pekerja yang akan berhenti kerja, bersara, yang hendak meninggalkan Malaysia ataupun yang meninggal dunia.
  • Adalah menjadi tanggungjawab majikan tidak kira sama ada di sektor awam mahupun di sektor swasta, kedua-duanya bertanggungjawab di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) bagi memaklumkan kepada HASiL dalam tempoh yang ditetapkan sekiranya berlaku penamatan perkhidmatan.

 

  1. Apakah tindakan yang perlu dilakukan oleh majikan sekiranya berlaku penamatan pekerjaan atas pekerja?

 

  • Sebagai majikan yang bertanggungjawab, mereka perlu memaklumkan kepada HASiL tidak kurang daripada tiga puluh (30) hari sebelum tarikh pemberhentian pekerja yang akan berhenti kerja, bersara atau yang akan meninggalkan Malaysia melebihi tiga (3) bulan.
  • Bagi kes pekerja yang meninggal dunia, pemakluman perlu dibuat tidak lebih tiga puluh (30) hari selepas dimaklumkan kematian pekerja berkenaan.
  • Ada tiga (3) jenis borang perlu dihantar kepada HASiL mengikut situasi pekerja iaitu:
  1. CP21 : Borang Pemberitahuan oleh Majikan Bagi Pekerja Yang

Hendak Meninggalkan Malaysia;

  1. CP22A : Borang Pemberitahuan Pemberhentian Kerja (Swasta); atau
  • CP22B : Borang Pemberitahuan Pemberhentian Kerja (Agensi Kerajaan).
  • Bagi memberi kemudahan kepada majikan, HASiL telah menyediakan perkhidmatan dalam talian bagi membolehkan majikan mengemukakan Borang CP21, CP22A dan CP22B yang boleh diakses di https://mytax.hasil.gov.my/. Pilih Perkhidmatan ezHasil seterusnya ke e-SPC.
  • Permohonan SPC akan diproses selepas semua dokumen dan maklumat lengkap diterima.
  • Selain itu, majikan perlu menahan apa-apa bahagian wang yang akan atau boleh dibayar kepada pekerja dan tidak membayar apa-apa bahagian wang tersebut tanpa kebenaran HASiL sehingga tempoh sembilan puluh (90) hari dari tarikh borang diterima oleh HASiL.
  • Majikan juga perlu membayar semua atau sebahagian amaun wang yang ditahan kepada HASiL apabila diarahkan pada bila-bila masa dalam tempoh tersebut.
  • Walau bagaimanapun, majikan diberi pengecualian untuk tidak mengemukakan Borang Pemberitahuan Pemberhentian Kerja kepada HASiL sekiranya pendapatan seseorang pekerja tertakluk kepada Potongan Cukai Bulanan (PCB) atau jika saraan bulanan pekerja adalah di bawah amaun minimum yang layak dikenakan PCB, dengan syarat pekerja berkenaan akan terus bekerja atau tidak bersara daripada mana-mana penggajian di Malaysia.
  • Borang pemberitahuan oleh majikan bagi pekerja yang hendak meninggalkan Malaysia pula tidak perlu dikemukakan sekiranya HASiL berpuas hati bahawa seseorang pekerja tersebut dikehendaki meninggalkan Malaysia secara kerap berhubung dengan penggajian yang dilakukannya.

 

  1. Apa kaitan SPC ini kepada pekerja-pekerja dan majikan di luar sana?

 

  • Tujuan SPC adalah untuk memastikan rekod percukaian pekerja berada dalam keadaan teratur.
  • Apabila permohonan SPC diterima, cawangan yang menguruskan fail akan menyemak rekod percukaian pekerja bagi tahun-tahun sebelumnya sama ada audit perlu dilakukan atau tidak. Sekiranya perlu, cawangan akan meminta dokumen tersebut daripada pihak pekerja.
  • Secara tidak langsung akan memastikan rekod percukaian pekerja berada dalam keadaan teratur.
  • Sekiranya terdapat amaun cukai yang perlu diselesaikan hasil daripada semakan, amaun tersebut perlu dibayar oleh pihak majikan kepada HASiL daripada amaun wang yang ditahan.

 

  1. Adakah HASiL akan mengenakan apa-apa tindakan undang-undang terhadap majikan yang gagal mendapatkan SPC bagi pekerja yang terlibat?

 

  • Jika majikan gagal menjalankan tanggungjawab, majikan boleh disabitkan kesalahan mengikut undang-undang yang telah ditetapkan.
  • Kelewatan atau kegagalan mengemukakan borang tersebut tanpa alasan yang munasabah merupakan suatu kesalahan dan sekiranya disabitkan, boleh dikenakan denda tidak kurang RM200 atau tidak lebih daripada RM20,000 atau penjara tidak melebihi enam (6) bulan atau kedua-duanya di bawah subsekyen 120(1) ACP 1967.
  • Majikan juga bertanggungjawab untuk membayar amaun penuh cukai yang kena dibayar oleh pekerjanya. Amaun kena dibayar oleh majikan merupakan suatu hutang kepada kerajaan dan boleh dituntut melalui tindakan sivil.

               

Bagaimana pula dengan tanggungjawab pekerja dalam isu SPC ini?

 

  • Rekod pematuhan cukai seseorang pekerja ialah komponen penting yang akan disemak oleh HASiL sebelum SPC dikeluarkan. Justeru, terdapat beberapa perkara perlu dilakukan oleh pekerja sebagai tanggungjawab mereka, iaitu:

 

  1. Memastikan pendapatan yang diterima berhubung dengan suatu penggajian dilaporkan dengan mengemukakan Borang Nyata Cukai sekiranya pekerja tersebut tidak memilih PCB sebagai cukai muktamad.
  2. Pekerja juga disarankan supaya menyemak rekod pematuhan cukai mereka terlebih dahulu dengan HASiL sebelum majikan mengemukakan Borang CP21, CP22A dan CP22B.

 

  1. Setelah permohonan SPC dihantar oleh majikan, apakah tindakan yang perlu diambil oleh HASiL?

 

  • Permohonan SPC individu yang lengkap diterima oleh HASiL akan diproses mengikut Piagam Pelanggan kami, iaitu empat belas (14) hari bekerja daripada tarikh dokumen lengkap diterima.
  • SPC individu yang telah selesai diproses akan dihantar kepada majikan dan disalinkan kepada pekerja untuk makluman serta rekod pekerja.
  • Pegawai Perhubungan Awam/ Customer Care Officer (CCO) cawangan boleh dihubungi sekiranya menghadapi masalah dalam pengeluaran SPC individu. Senarai nama Pegawai Perhubungan Awam boleh diperolehi menerusi Portal Rasmi HASiL di hasil.gov.my dengan klik pada tab Hubungi Kami dan seterusnya klik Panggilan. Anda perlu memilih Pegawai Perhubungan Awam untuk melihat senarai pegawai mengikut cawangan yang dikehendaki.
  • Kami amat menghargai kerjasama yang diberikan oleh majikan dan pekerja dalam permohonan SPC ini bagi membolehkan HASiL dapat memproses permohonan tersebut dengan lancar.

 

Perkongsian artikel ini diharapkan dapat menjadi panduan dan dimanfaatkan sewajarnya oleh para majikan dan pekerja di luar sana yang masih ragu-ragu mengenai perkara ini.  Semoga kelestarian hasil cukai akan dimanfaatkan bersama demi membina #KeluargaMalaysia yang lebih makmur dan sejahtera. Sebarang pertanyaan serta maklum balas boleh dimajukan kepada HASiL melalui:

 Hasil Care Line (HCL) di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara);

  1. HASiL Live Chat; dan
  2. Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDNM di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.