Oleh Ritah Yahaya
28 Julai 2022, 12:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Selepas kelonggaran dasar monetari untuk suatu tempoh yang panjang, peningkatan kadar faedah global sememangnya tidak dapat dielakkan lagi. Keadaan ini turut didorong oleh kebimbangan disebabkan oleh peningkatan kadar inflasi, konflik geopolitik dan kenaikan harga bahan api yang semuanya berkait rapat. Dengan rata-rata pasaran di seluruh dunia kian menerima tempias peningkatan inflasi ini, konflik bersenjata antara Rusia dengan Ukraine memburukkan lagi keadaan ekoran peningkatan harga bahan api serta gangguan rantaian bekalan global.

Mempertimbangkan keadaan ekonomi global dan serantau, Bank Negara Malaysia (BNM)  meningkatkan Overnight Policy Rate (OPR) sebanyak 50 mata asas (bps) kepada 2.25% sejak bulan Mei 2022 sejajar dengan kitaran pengetatan dasar monetari global bagi membendung peningkatan inflasi.

Dalam keadaan serba tidak menentu ini, adalah amat penting kepada para pelabur agar mempelbagaikan pelaburan mereka untuk mengekalkan kestabilan portfolio. Funding Societies, platform pembiayaan digital perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terbesar di Asia Tenggara, komited menawarkan pelbagai produk pelaburan berisiko rendah menerusi platformnya bagi membantu para pelabur meraih pulangan konsisten menerusi produk seperti pembiayaan peniaga (dealer financing) dan Guaranteed Investment Notes (GIN)) serta pelbagai produk lain yang dalam perancangan.

Ketua Negara, Funding Societies Malaysia, Chai Kien Poon, berkata, “Kami sentiasa menginovasi bagi menawarkan lebih banyak produk pelaburan yang menepati keperluan objektif pelaburan dan tahap risiko yang berbeza. Sebagai contohnya, dengan perkembangan semasa ekonomi global dan potensi limpahan impaknya terhadap pasaran tempatan, Nota Pelaburan Terjamin (GIN) kami menawarkan pulangan lebih konsisten (walaupun dengan kadar lebih rendah berbanding dengan GIN yang lain) –  pelabur akan dilindungi daripada risiko pinjaman tidak dibayar balik atau mungkir pembayaran yang dilindungi oleh entiti penjamin yang dilantik – menarik minat para pelabur yang lebih berwaspada bagi tempoh jangka pendek hingga jangka sederhana. Kami  memperkenalkan GIN semasa kemuncak pandemik COVID-19 dan  mendapat sambutan memberangsangkan daripada para pelabur.”

Chai Kien Poon, Ketua Negara, Funding Societies Malaysia.

“Dengan pengenalan GIN, kami dapat memenuhi tiga objektif, iaitu (1) menyediakan lebih banyak peluang pelaburan bagi mempelbagaikan portfolio para pelabur kami, (2) menawarkan produk pelaburan berisiko rendah bagi pelabur yang mempunyai objektif pelaburan dan tahap risiko berbeza, dan (3) terus menyediakan penyelesaian pembiayaan kepada lebih banyak lagi PKS di Malaysia bagi memenuhi keperluan modal perniagaan mereka,” tambah Chai.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.