Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKrisis makanan yang berlaku di Malaysia ketika ini harus difahami bukan hanya disebabkan oleh faktor global, tetapi juga dipengaruhi oleh tadbir urus dalam menangani krisis ekonomi ini. Keadaan menjadi lebih berisiko kerana sektor ekonomi negara mempunyai hubungan langsung dengan jaringan gergasi ekonomi dunia, khususnya Amerika Syarikat, Jepun, China, Rusia, dan benua Eropah.
Realiti yang perlu difahami serta dijanakan dengan bijak oleh masyarakat, khususnya meneliti kesan terbesar yang menyebabkan ekonomi dunia merudum. Akibatnya, ekonomi Malaysia dan ekonomi negara serantau turut terkesan. Pastinya, faktor utama penyebabnya ialah pandemik COVID-19.
Pandemik COVID-19 yang menyebabkan pengoperasian kegiatan ekonomi berskala besar dunia terjejas. Rangkaian perhubungan dan penghantaran barangan, termasuklah makanan bagi tujuan import dan eksport menerusi jaringan pengangkutan air, khususnya kapal laut terjejas.
Isu berkaitan dengan krisis ekonomi dunia dikupas oleh tokoh ilmuwan ekonomi terkenal, Profesor Dr. Jomo Kwame Sundaram, Felow Akademi Sains Malaysia dan Dr. Michael Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) bersama-sama M.S. Anur Mahmod sebagai moderator menerusi slot “Anekdot” dalam Facebook Langsung dan YouTube Dialektika TV yang bertajuk “Subsidi Bersasar atau Tersasar”.
Menurut Profesor Dr. Jomo, sebelum pandemik COVID-19, terdapat sebanyak 10 buah syarikat perkapalan dunia yang terlibat dengan trafik import eksport. Namun begitu, kerancakan sistem pengangkutan yang menjadi nadi ekonomi dunia ini ternyata dilumpuhkan oleh pandemik COVID-19.
Kini, terdapat hanya empat buah syarikat perkapalan yang masih menjalankan perniagaan. Situasi ini memberikan kesan yang amat besar kepada trafik aliran eksport bahan makanan dan perdagangan di seluruh dunia. Hal ini demikian kerana sistem pengangkutan amat penting dalam menentukan kelestarian sistem bekalan berada dalam rantaiannya dan sekiranya sistem bekalan ini diputuskan, maka banyak negara yang akan menerima kesannya.
Faktor seterusnya menurut beliau ialah kesan peperangan yang berlaku terhadap Ukraine. Masyarakat dunia tidak seharusnya memandang sebelah mata isu peperangan global. Hal ini demikian kerana konflik kedua-dua buah negara ini akan memberikan tempias kepada negara-negara lain. Misalnya, tekanan terhadap Rusia oleh Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah menyebabkan Rusia menghentikan eksport gandumnya ke seluruh dunia. Akibatnya, berlaku krisis gandum yang kritikal.
Bukan hanya gandum, umum juga harus memahami bahawa sektor pertanian yang dibangunkan oleh setiap negara di dunia ini memerlukan baja untuk hasil pertanian yang maksimum. Kesan pemulauan oleh negara-negara anti-Rusia, mengakibatkan Rusia yang merupakan pengeluar baja untuk pertanian turut menghentikan eksport baja pertanian. Tindakan Rusia itu memberikan kesan yang besar kepada sektor pengeluaran makanan dunia.
Seperkara lagi yang mesti difahami oleh umum adalah tentang jaringan kuasa ekonomi global AS, Jepun dan sekutunya yang bertindak mengepung ekonomi China. Tindakan ini menyebabkan Malaysia yang bergantung pada sebahagian jaringan dengan negara Tembok Besar ini turut mengalami kesannya. Semua tindakan tersebut secara langsung memberikan kesan besar terhadap jaminan keselamatan makanan negara.
Profesor Dr. Jomo melontarkan kebimbangan beliau terhadap kualiti makanan golongan B40, apabila haiwan unggas seperti ayam sebagai sumber protein utama rakyat Malaysia kini mengalami krisis yang serius. Kenaikan harga ayam sudah tentu memberikan kesan kepada faktor lain ekonomi dan sudah tentu subsidi yang disediakan oleh kerajaan akan digunakan sebaik-baiknya oleh mereka yang terlibat bagi menangani krisis ini.
Profesor Dr. Jomo berkongsi pendapat tentang penelitian beliau terhadapi sektor pengeluaran makanan global dan kesannya terhadap ekonomi Malaysia, khususnya isu sekuriti makanan. Menurut beliau Malaysia harus mempelajari isu subsidi dari negara Jepun berkaitan dengan sekuriti makanan. Menurut beliau, Jepun membekalkan makanan yang lengkap zat kepada kanak-kanak di sekolah sejak seabad yang lalu.
Dr. Michael Jeyakumar Devaraj pula berkongsi pandangan beliau berkaitan dengan suasana peningkatan harga barang makanan. Keadaan ini amat menjejaskan keperluan asas, ditambah pula dengan tekanan penarikan subsidi daripada kumpulan B40 dan B20.
Menurut beliau, keperluan harian rakyat menghadapi banyak masalah. Oleh itu, penelitian berkaitan dengan kawalan harga barang perlu dibuat. Hal ini supaya rantaian bekalan tidak terputus walaupun sektor ekonomi secara realitinya berdepan dengan pengunduran peniaga yang mengakibatkan inflasi pembekal.
Pada masa yang sama, para peniaga diharapkan masih mendapat margin keuntungan yang akan memotivasikan mereka agar kekal beroperasi seperti biasa walaupun dalam situasi yang agak tegang ketika ini. Subsidi yang dikurangkan ini juga memberikan kesan kepada para peniaga apatah lagi kepada pengguna.
Dr. Kumar berpandangan bahawa subsidi sebanyak RM200.00 kepada B40 selama enam bulan atau tempoh yang lebih panjang amat perlu dalam keadaan negara berdepan dengan krisis kekurangan bekalan ayam dan harga ayam yang tinggi. Beliau juga menegaskan bahawa sekiranya subsidi diberhentikan, golongan sasaran akan menerima kesannya. Mereka akan berasa terabai dan mengalami kesan-kesan yang lain. Oleh itu, kerajaan harus segera melaksanakan mekanisme yang memberikan impak terbaik kepada rakyat dan keluk ekonomi negara, khususnya subsidi kepada golongan yang selayaknya menerima subsidi ini.
Dr, Kumar turut menyentuh pengalaman Malaysia dalam jihad memerangi orang tengah. Gerakan ini bertujuan menghapuskan monopoli dan eksploitasi yang berlaku. Budaya ekonomi yang tidak sihat ini menjejaskan rantaian ekonomi, khususnya golongan rakyat. Kesan buruk yang paling ketara ialah kenaikan harga yang sukar dikawal oleh penguasa.
Dalam sesetengah keadaan, jurang pola populasi berpendapatan tinggi dan miskin semakin luas. Sebanyak RM37.3 billion subsidi disalurkan oleh kerajaaan kita untuk gas, petrol dan diesel. Manakala, sebanyak RM7 billion subsidi untuk tenaga elektrik dan RM4 billion subsidi untuk minyak masak.
Meneliti subsidi bersasar, impaknya adalah terhadap marhaen. Menurut Dr. Kumar, keadaan ini menyebabkan subsidi akan tersasar jika golongan berada lebih banyak mengecap labanya, bukannya marhaen. Beliau juga mencadangkan agar setiap Keluarga Malaysia diberi kuota untuk pembelian barangan asas. Sebagai contohnya, petrol RON95 bersubsidi pada kadar RM2.10 seliter dan apabila melebihi had yang ditetapkan, pengguna akan membayar harga tanpa subsidi. Cadangan ini sudah tentu akan dapat membantu golongan yang terjejas pada era krisis ini.
Menurut Dr. Kumar, subsidi bersasar sepatutnya memberikan manfaat kepada rakyat berdasarkan penelitian panel, iaitu dengan kemajuan negara dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam berbanding dengan menggalakkan rakyat memiliki kereta masing-masing; menggalakkan ekonomi hijau, khususnya meneroka atau sudah tiba masanya memanfaatkan tenaga yang diperbaharui.
Dr. Kumar mengingatkan semua pihak agar lebih berhati-hati menangani hal-hal berkaitan dengan kebergantungan sumber makanan utama, khususnya beras yang diimport dari luar negara. Keadaan ini amat berisiko jika tidak ditangani dengan baik dan cekap. Malaysia akan mengalami kesan yang amat buruk akibat kekurangan bekalan makanan ruji.
Dr. Kumar mencadangkan agar kerajaan menyediakan subsidi yang lebih besar kepada sektor pertanian padi. Melalui petisyen yang dihantar kepada Parlimen menerusi “Padi Rescue”, beliau menjelaskan bahawa terdapat 14 tuntutan yang dikemukakan bagi memastikan jaminan keselamatan pengeluaran padi sebagai bahan makanan utama negara.
Secara keseluruhannya, perbincangan tersebut menemukan kesepakatan bahawa subsidi yang disediakan oleh kerajaan akan memberikan kesan yang positif secara holistik, khususnya kepada graf ekonomi. Kerajaan pastinya akan memberikan kesan “kesihatan” yang baik dan menyeluruh kepada rakyat dari segi ekonomi keluarga, sosial, pendidikan, dan sebagainya yang kelak akan mewujudkan negara yang sejahtera untuk rakyatnya.