Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangApabila isu minyak sawit timbul, penulis teringat akan tiga isu besar. Pertama, tindakan beberapa pihak yang ingin mengambil tindakan terhadap Malaysia berikutan dengan isu pekerja yang tidak mendapa layanan setimpal. Kedua, tindakan pihak berkuasa India yang bercadang memboikot pembelian minyak sawit dari Malaysia.
Isu tersebut timbul ekoran kenyataan mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad yang meminta India bekerjasama dengan Pakistan bagi menyelesaikan isu konflik dua buah wilayah berkenaan ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations General Assembly (UNGA)) ke-74 pada 24 September 2020 hingga 28 September 2020.
Ketiga, Barat yang melaksanakan diskriminasi terpilih mereka terhadap minyak sawit atas alasan keradangan kepada kulit dan pekerja buruh paksa, dan isu perubahan iklim, kini akur tentang peri pentingnya minyak sawit kepada dunia.
Dalam hal yang sama, Indonesia melarang pengeksportan minyak sawitnya ke pasaran dunia kerana ingin memenuhi pasaran domestiknya. Adakah hal ini akan menyebabkan dunia akan memberikan perhatian semula kepada Malaysia?
Presiden Joko Widodo mengumumkan bahawa Indonesia akan menghentikan eksport minyak masak dan minyak sawit mentah ke luar negara bermula 28 April ini.
Kesatuan Petani Kelapa Sawit Indonesia menyokong larangan kerajaan terhadap eksport kelapa sawit dan menyifatkannya sebagai langkah sementara yang diperlukan.
Tindakan negara pengeluar kelapa sawit dan pengeksport terbesar dunia itu bertujuan memastikan bekalan dan harga mampu beli minyak masak di pasaran domestik.
Adakah hal ini mendatangkan laba kepada Malaysia dari segi peningkatan pengeluaran? Dan, Malaysia berpotensi menjadi pengeksport utama minyak sawit?
India misalnya mengimport sebanyak 50% minyak sawit dari Indonesia. Dalam setahun, jumlah importnya dianggarkan sekitar lapan juta tan, iaitu memperuntukkan sebanyak 40% daripada jumlah minyak yang boleh digunakan untuk masakan. India ialah negara pengimport terbesar minyak masak sayuran di dunia
Apakah tindakan kerajaan India berikutan langkah Indonesia itu? Adakah New Delhi akan merujuk Malaysia untuk menambahkan ekport mintak sawit dari Malaysia?
Larangan eksport itu menyebabkan harga minyak kacang soya melambung ke paras tertinggi di tengah-tengah kebimbangan mengenai bekalan global minyak sayur-sayuran alternatif yang berkurangan.
Langkah Indonesia ini dikhuatiri akan memburukkan situasi kekurangan bekalan masak yang mungkin boleh membawa kepada krisis kebuluran makanan di negara yang bergantung pada import minyak masak.
Ketidakseimbangan permintaan dan penawaran dijangka menyebabkan harga minyak sawit dan minyak-minyak pesaing lain melonjak ke paras yang lebih tinggi.
Konflik Rusia–Ukraine menyukarkan pasaran minyak masak dunia. Rantau Laut Hitam sahaja memperuntukkan sebanyak 76% eksport minyak bunga matahari. Penghantaran melalui jalan laut ke rantau tersebut terjejas disebabkan oleh pihak insurans mengenakan premium yang tinggi kesan situasi perang yang menyebabkan kapal penghantar kargo minyak masak tidak mampu menanggung kosnya.
Konflik kedua-dua buah negara ini memaksa kebanyakan negara yang terjejas import minyak bunga matahari bertukar kepada import minyak sawit. Ukraine dan Russia ialah pengeksport terbesar minyak bunga matahari di dunia. Menurut the Observatory of Economic Complexity, laman sesawang visualisasi data unuk perdagangan antarabangsa, sebanyak 46% minyak bunga matahari adalah dari Ukraine. Sementara, sebanyak 25% adalah dari Russia.
Jika diteliti, langkah Indonesia itu pernah dilaksanakan oleh beberapa buah negara. Sebagai contohnya, Argentina yang mengenakan cukai eksport yang tinggi bagi minyak masaknya Sementara, Moldova, Hungary dan Serbia malarang ekspot bijirin mereka.
Peningkatan dasar perlindungan makanan akan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan negara yang bergantung pada bahan makanan asas dan minyak masak seperti di Timur Tengah dan Afrika yang akan menbawa kepada kekurangan bekalan makanan dan dapat mencetuskan kekacauan.
Bagaimanakah pula dengan Malaysia? Dapatkah Malaysia mengimbangkan kekurangan minyak kelapa sawit dunia berikutan tindakan Indonesia itu? Indonesia merupakan negara pengeksport minyak sawit terbesar di dunia. Pada tahun lalu, pengeluaran minyak sawit Indonesia adalah sebanyak 59% dan sebanyak 56% adalah daripada eksport minyak sawit.
Dalam hubungan ini, Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Wee Jeck Seng berkata, kesan jangka pendek tentunya menyebabkan negara pengimport mengalihkan pandangan ke negara ini. Namun begitu, Malaysia berdepan dengan cabaran kerana isu kekurangan tenaga buruh yang menyebabkan Malaysia tidak mampu menampung permintaan tinggi ekoran langkah yang diambil oleh Indonesia itu.
Jeck Seng turut memaklumkan bahawa ketika ini pengeluaran minyak sawit mentah (Crude Palm Oil (CPO)) yang mampu dikeluarkan oleh Malaysia adalah sekitar 17 juta tan setahun. Hal ini disebabkan oleh faktor ketiadaan pekerja di sektor perladangan.
Menurut beliau, peningkatan permintaan eksport itu mampu memberikan cabaran kepada industri hiliran sawit tempatan di Malaysia memandangkan persaingan untuk mendapatkan bekalan bahan mentah. Jelas beliau, Malaysia masih bergantung pada permintaan dan penawaran minyak sawit dunia. Keperluan bagi pasaran tempatan pula hanya satu juta tan setahun bagi pengeluaran minyak masak bersubsidi.
Sebagai negara pengeluar dan pengeksport utama minyak sawit dan produk-produk hiliran berasaskan sawit, kerajaan Malaysia akan melindungi kelangsungan dan kebolehsaingan industri sawit tempatan pada peringkat global, termasuklah industri hiliran. Namun, sejauh manakah penghentian eksport minyak sawit itu dapat menangani masalah kekurangan minyak masak?
Langkah ini dibimbangi akan mewujudkan kekurangan yang besar di pasaran antarabangsa, dan meninggalkan kesan kepada pendapatan pekerja, petani kecil dalam industri ladang dan industri minyak sawit di Indonesia. Oleh hal yang demikian, Malaysia harus merancang strategi dan memikirkan perancangan jangka pendek dan jangka panjang.bagi meningkatkan eksport minyak sawitnya ke pasaran dunia.
Penulis ialah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel).