27 Jun 2022, 20:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan bahawa bantuan Keluarga Malaysia (BKM) merupakan inisiatif bantuan tunai langsung tertinggi dalam sejarah berbanding Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan Bantuan Sara Hidup (BSH).

Beliau turut memaklumkan BKM Fasa 2 ditambah baik dengan bantuan tunai tambahan bernilai RM630 juta, menjadikan jumlah peruntukan keseluruhan BKM sebanyak RM8.2 bilion. “Sebagai perbandingan, kadar maksimum BKM adalah RM2,600 berbanding BR1M (RM1,200) dan BSH (RM1,480), iaitu peningkatan bantuan sebanyak 120% sejak inisiatif bantuan tunai langsung mula diperkenalkan. “Peningkatan ini adalah kerana had kelayakan untuk menerima BKM telah dinaikkan daripada berpendapatan RM4000 ke bawah sebulan untuk BSH kepada RM5000 ke bawah sebulan untuk BKM.” Jumlah penerima BKM seramai 8.6 juta berbanding BSH hanya 4.5 juta penerima.

Hal ini bermakna lebih ramai Keluarga Malaysia layak untuk menerima bantuan, termasuklah sebahagian M40 dan bukan terhad kepada golongan B40 sahaja seperti untuk inisiatif bantuan tunai langsung sebelum ini. Lazimnya, BKM dikenali sebagai bantuan kepada golongan B40, namun hakikatnya bantuan itu kini memanfaatkan 12.6 juta individu, iaitu bersamaan 60% daripada rakyat dewasa di Malaysia. Kementerian Kewangan akan terus memantau faktor-faktor luaran yang boleh memberi impak negatif kepada situasi ekonomi domestik bagi memastikan kos sara hidup rakyat terkawal.
“Kerajaan juga sentiasa memantau situasi semasa dan yakinlah bahawa dasar kerajaan, baik dari segi bantuan langsung mahupun yang tidak langsung seperti subsidi keperluan asas, adalah bertujuan memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela.” Perdana Menteri pada 22 Jun lepas mengumumkan bantuan tunai tambahan di bawah BKM iaitu RM100 untuk isi rumah dan RM50 bagi golongan bujang setelah kerajaan mengambil kira cabaran kos sara hidup dan kenaikan harga barang makanan kebelakangan ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan BKM Fasa 2 dengan peruntukan sebanyak RM1.74 bilion yang dibayar secara berperingkat kepada penerima yang layak bermula hari ini (27 Jun) akan memanfaatkan 4 juta isi rumah, 1.2 juta warga emas (bujang/tiada pasangan) dan 3.4 juta individu bujang. Semakan status pembayaran boleh dibuat mulai hari ini melalui pautan https://bkm.hasil.gov.my.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.