Oleh Ritah Yahaya
7 April 2022, 16:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya  – Sebagai Kementerian yang menerajui pendayaupayaan dan perlindungan pengguna, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sentiasa berusaha untuk mengkaji dan membangunkan perundangan baharu berkenaan standard
keselamatan barangan pengguna.

Perkara ini selaras dengan peruntukan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Perihal Dagangan 2011.
Sehubungan dengan itu, Pewartaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan dan Peranti Rokok Elektronik 2022 telah diwartakan pada 5 April 2022 dan berkuatkuasa pada 4 Julai 2022 bagi pelitup muka bukan perubatan dan 3 Ogos 2022 bagi peranti rokok elektronik. Walau bagaimanapun, mengambil kira maklum balas daripada umum,

Kementerian akan menangguhkan penguatkuasaan Pewartaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan ke 1 Januari 2023.

Tujuan pewartaan ini adalah untuk memastikan pelitup muka bukan perubatan dan peranti rokok elektronik yang dihasilkan dalam negara atau diimport mempunyai penandaan MS SIRIM, mematuhi standard dan berkualiti, demi keselamatan pengguna.

Usaha ini juga diambil bagi meningkatkan perlindungan dan keselamatan pengguna melalui pembudayaan standard
serta mengatasi masalah lambakan barangan sub-standard dalam pasaran tempatan.

Pematuhan perintah ini adalah diwajibkan ke atas pengilang dan pengimport bagi kedua-dua produk ini dengan membuat permohonan perakuan dan penandaan MS SIRIM daripada SIRIM QAS International Sdn.Bhd. selaku Pihak Berkuasa Yang Berwibawa dilantik oleh KPDNHEP.

Proses pewartaaan ini yang telah bermula sejak 2018 untuk peranti rokok elektronik dan 2020 untuk pelitup muka bukan perubatan dibentangkan dan diluluskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 25 Mac 2022, selepas melalui pelbagai proses libat urus yang dikendalikan oleh Bahagian Standard Kepenggunaan (BSK) KPDNHEP bersama pemain industri, Jabatan Standard Malaysia (JSM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Regulatory Impact Analysis (RIA) di Perbadanan Produktiviti Malaysia bagi mendapatkan ulasan awam (public comment) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mendapatkan nasihat perundangan.

Kedua-dua perintah ini juga telah dibentangkan kepada
Jawatankuasa World Trade Organization TBT (Technical Barrier to Trade) yang berpangkalan di Geneva, Switzerland bagi mendapatkan ulasan daripada 164 buah negara anggota WTO dan tidak mendapat bantahan.

Dalam Majlis Amanat Bersama Pihak Industri Sempena Pewartaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan dan Peranti Rokok Elektronik 2022 yang diadakan pada hari ini, sebanyak 130 orang yang terdiri daripada pengilang, pengimport, persatuan pelitup muka bukan perubatan, dan wakil-wakil agensi hadir bagi sesi taklimat kandungan kedua-dua perintah secara terperinci.

Tindakan penguatkuasaan boleh diambil oleh Kementerian sekiranya berlaku ketidakpatuhan oleh pengilang dan pengimport seperti berikut:

i. Syarikat: didenda tidak melebihi RM 200,000.00. Bagi                  kesalahan kali kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi      RM500 000.00

ii. Individu: (pengeluar/pengimport): didenda tidak melebihi           RM100 000.00 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau       kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan kali kedua atau yang             berikutnya didenda tidak melebihi RM250 000.00 atau                 dipenjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya                 sekali.

Pewartaan ini merupakan inisiatif Kerajaan atas semangat Keluarga Malaysia bagi menjaga kesejahteraan rakyat dan melindungi kepentingan pengguna. KPDNHEP berharap isu lambakan pelitup muka bukan perubatan dan Peranti Rokok Elektronik yang tidak berkualiti dalam pasaran Malaysia akan dapat diatasi dengan pematuhan standard oleh pengilang dan
pengimport.

Selain pelitup muka bukan perubatan dan peranti rokok elektronik, KPDNHEP melalui Bahagian Standard Kepenggunaan (BSK) juga turut mengawal selia penandaan keselamatan bagi enam produk pengguna yang lain, iaitu tayar pnuematik kereta (tayar yang diisi dengan angin), pelapik
brek gantian kereta, kaca keselamatan kenderaan, topi keledar motosikal, mainan kanak-kanak dan bateri primer (bateri yang tidak boleh dicas semula).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.