7 April 2022, 09:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Moody’s Investors Service (Moody’s) menyatakan bahawa margin penapisan Asia akan terus menggalakkan pada tahun 2022 berikutan sekatan pergerakan yang dilonggarkan meningkatkan permintaan untuk bahan api pengangkutan manakala kadar penggunaan untuk bahan api di Asia dari Eropah telah meningkat disebabkan sekatan antarabangsa ke atas Rusia.

Penganalisis Moody’s, Hui Ting Sim menyatakan bahawa permintaan yang tinggi untuk bahan api pengangkutan di tengah-tengah kekurangan bekalan akan memacu margin penapisan walaupun harga minyak mentah melonjak baru-baru ini meningkatkan kos bahan mentah. “Pendapatan syarikat penapis akan meningkat pada tahun ini berikutan margin penapisan yang menggalakkan dan keuntungan inventori daripada harga minyak yang tinggi. “Bagaimanapun, pertumbuhan pendapatan akan dibendung oleh kos utiliti yang tinggi, kos pengangkutan dan premium kepada minyak mentah.”

Agensi penarafan kredit itu menambah sekatan antarabangsa ke atas Rusia memberikan impak yang terhad kepada operasi syarikat penapis di Asia yang diberikan penarafan berikutan mereka mendapat sebahagian besar daripada minyak mentah mereka daripada pengeluar minyak mentah Timur Tengah melalui perjanjian pembelian jangka panjang.

Sementara itu, agensi itu turut menjangkakan pendapatan atau aliran tunai syarikat penapisan dan pemasaran di India dan Indonesia akan merosot pada tahun ini berikutan kawalan harga dan mereka menghadapi cabaran untuk memindahkan kos bahan mentah sepenuhnya kepada pengguna. “Bagaimanapun, kemerosotan dalam metrik kredit syarikat penapisan dan pemasaran milik kerajaan di negara tersebut akan ditampung dalam profil kredit semasa mereka.” Bagi Singapura, katanya margin penapisan republik itu berada pada purata US$4 setong dalam tempoh 12 bulan lepas dan menjangka margin akan terus menggalakkan pada US$4-US$6 setong dalam jangka sederhana.

Agensi penarafan kredit itu turut menjangkakan aliran keluar modal kerja syarikat penapis akan meningkat pada tahun 2022 berikutan harga minyak mentah yang tinggi. “Oleh itu, penjanaan aliran tunai syarikat penapis di Asia akan dihadkan walaupun harga minyak mentah yang tinggi meningkatkan pendapatan mereka berikutan keuntungan inventori pada tahun ini. “Aliran keluar modal kerja akan menjadi tinggi untuk syarikat penapis di Asia yang diberi mandat oleh kerajaan mereka untuk menyimpan rizab minyak.”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.