5 April 2022, 11:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

New York – Harga minyak jatuh pada permulaan perdagangan Asia pada Ahad selepas Emiriah Arab Bersatu dan kumpulan Houthi yang bersekutu dengan Iran menyambut baik gencatan senjata yang akan menghentikan operasi ketenteraan di sempadan Saudi-Yaman bagi mengurangkan beberapa kebimbangan mengenai kemungkinan isu berkaitan bekalan minyak dunia.

Kerugian awal minggu ini berlaku selepas harga minyak turun sekitar 13% minggu lepas yang merupakan kejatuhan mingguan terbesar dalam dua tahun apabila Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengumumkan pengeluaran rizab minyak A.S. yang terbesar. Menurut Reuters, niaga hadapan minyak mentah Brent turun AS$1.01, atau 1%, kepada AS$103.38 setong menjelang 2223 GMT. Niaga hadapan minyak mentah WTI turun 84 sen, atau 0.9%, kepada AS$98.43 setong.

Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah mengalu-alukan pengumuman gencatan senjata yang diusahakan oleh PBB di Yaman. Kumpulan Houthi yang bersekutu dengan Iran telah memerangi tentera pakatan termasuk UAE di Yaman turut mengalu-alukan gencatan senjata itu. Gencatan senjata di seluruh negara merupakan yang pertama selama bertahun-tahun dalam konflik tujuh tahun Yaman dan akan membenarkan import bahan api ke kawasan yang dikuasai Houthi dan beberapa penerbangan beroperasi dari lapangan terbang Sanaa, kata utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada hari Jumaat.

“Ini adalah ancaman terhadap pembekalan minyak mentah, dan gencatan senjata ini akan mengurangkan ancaman tersebut,” kata Phil Flynn, penganalisis di Price Futures Group.
Peserta pasaran bimbang terhadap bekalan global sejak pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada akhir Februari. Sekatan yang dikenakan ke atas Rusia atas pencerobohan itu mengganggu bekalan minyak dan mendorong harga minyak kepada hampir AS$140 setong, tertinggi dalam kira-kira 14 tahun.

Pada Khamis lalu, Biden mengumumkan pelepasan 1 juta tong sehari (bpd) minyak mentah selama enam bulan mulai Mei, yang pada 180 juta tong merupakan pelepasan terbesar pernah daripada Rizab Petroleum Strategik AS (SPR). Pada Jumaat pula, negara anggota Agensi Tenaga Antarabangsa menyatakan komitmen untuk satu lagi pelepasan minyak yang diselaraskan dalam mesyuarat luar biasa, menurut kementerian industri Jepun.

Namun, “apabila anda melihat pelepasan dari SPR, masih terdapat banyak persoalan tentang bagaimana mereka akan mendapatkan semua minyak itu dari sana, ” kata Flynn. “Kita perlu tunggu dan lihat.” Sementara itu, gergasi tenaga milik negara Rusia Gazprom berkata pada hari Ahad bahawa ia terus membekalkan gas asli ke Eropah melalui Ukraine sejajar dengan permintaan daripada pengguna Eropah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.