29 Mac 2022, 08:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kulim – Pengeluar kereta Jerman, Porsche AG memilih Malaysia sebagai lokasi pengeluaran pertamanya di luar Eropah. Kerjasama jenama kereta itu bersama Inokom Corporation milik syarikat Sime Darby Bhd dengan menjalankan operasi pemasangan tempatan (CKD) di Kulim, Kedah bakal menjadikan Malaysia sebagai hab untuk pasaran antarabangsa.

“Kami sangat berbangga dengan kerjasama ini berikutan pencapaian Sime Darby yang secara konsisten memastikan penyampaian, kualiti produk dan pemanduan mencapai standard yang ditetapkan. “Kilang baharu Porsche AG ini dikendalikan sepenuhnya oleh anak tempatan, menunjukkan kebolehan dan pengetahuan teknikal yang tinggi dalam kalangan rakyat dan membuka peluang membina kerjaya,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Berhad, Datuk Jeffri Salim Davidson. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Kilang Tempatan untuk Porsche di Malaysia yang disempurnakan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin.

Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) Porsche Cayenne menjadi model pertama CKD di Malaysia. Ahli Lembaga Eksekutif Jualan dan Pemasaran Porsche AG, Detlev von Platen menyatakan bahawa kerjasama ini merupakan salah satu strategi pertumbuhan dan mengukuhkan pasaran di rantau ASEAN. Tambahnya, Porsche memilih Malaysia untuk kemudahan pemasangan pertamanya di luar Eropah menandakan keyakinan syarikat itu terhadap ekosistem dan kekuatan Malaysia yang kondusif untuk menyokong pertumbuhan jangka panjang mereka.

Kemudahan pertama pengeluar kereta sport global itu di Kulim ini juga mengiktiraf keupayaan bakat tempatan dan berpotensi membawa mereka memperluaskan jejak di rantau Asean. Kilang pemasangan Porsche ini sejajar dengan Dasar Automitif Negara (NAP) 2020 yang bertujuan memajukan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam pembuatan automotif, kejuruteraan, teknologi dan pembangunan mampan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.