28 Mac 2022, 22:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Majlis Pelancaran Festival Mangga Harumanis Perlis Tahun 2022 anjuran Jabatan Pertanian Negeri Perlis di Pusat Kecemerlangan Mempelam Harumanis, Pusat Pertanian Bukit Bintang. Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

DYTM Tuanku Raja Muda Perlis dan DYTM Raja Puan Muda Perlis semasa berangkat menyempurnakan perasmian Majlis Pelancaran Festival Mangga Harumanis Perlis Tahun 2022.

Menerusi majlis tersebut, baginda menyarankan Mangga Harumanis Perlis dipromosikan kepada syarikat korporat untuk dijadikan sebagai hadiah korporat atau hamper eksklusif pilihan bagi dihadiahkan kepada pelanggan utama masing-masing secara terus dari Perlis bersempena dengan sambutan Aidilfitri pada kali ini. Pada masa yang sama, baginda menyeru agar rakyat dapat menjadikan Mangga Harumanis Perlis sebagai juadah istimewa untuk berbuka puasa seisi keluarga yang tersayang sempena bulan Ramadan.

Keberangkatan tiba baginda berdua ke program bagi mempromosikan dan memaklumkanĀ  permulaan musim Mangga Harumanis Perlis Tahun 2022 itu disambut oleh Pengarah Bahagian Pengembangan yang menanggung tugas Timbalan Ketua Pengarah Pertanian (Pembangunan Industri dan Pengembangan Malaysia), Encik Johari Abdullah dan Pengarah Pertanian Negeri Perlis, Encik Hafizuddin Othman. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Menteri Besar, YBhg. Dato Seri Azlan Man. DYTM Tuanku Raja Muda turut mengucapkan penghargaan kepada pihak Maybank yang banyak membantu dalam pemasaran secara dalam talian dan Air Asia yang mengembangkan pasaran produk tersebut ke Sabah dan Sarawak.

Dalam titah baginda, DYTM Tuanku Raja Muda menasihati para pengusaha supaya menguruskan tanaman berdasarkan amalan pertanian baik bagi memastikan kualiti buah Mangga Harumanis Perlis yang terhasil berkualiti tinggi dan selamat untuk dimakan. Baginda juga menyeru pengusaha ladang Mangga Harumanis PerlisĀ agar memohon persijilan MyGAP daripada pihak Jabatan Pertanian untuk meningkatkan lagi kualiti hasil Harumanis Perlis. DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra juga mengharapkan para pengusaha agar menjual Harumanis dengan penuh kejujuran.

Menyentuh mengenai harga yang tinggi, baginda menerangkan bahawa musim Mangga Harumanis singkat, iaitu antara dua hingga tiga bulan sahaja setahun. Jika diteliti berdasarkan kaedah serta kos penanamannya, ternyata harga berkenaan munasabah kerana penjagaan pokok ini amat rumit dan sukar. Malahan, para pengusaha juga terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi ekoran daripada masalah kenaikan harga input pertanian yang mendadak berlaku pada masa ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.