26 Mac 2022, 07:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penganjuran Hari Usahawan Negara (HUN) 2022 yang berlangsung dari 24 hingga 28 Mac di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), muncul sebagai pusat sehenti buat usahawan tempatan. Acara mega selama lima hari anjuran Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia (DPUKM) yang pertama kali diadakan di Malaysia itu berlangsung dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.

Sebanyak 1000 lot pameran dibuka bagi usahawan tempatan dan antarabangsa mempamerkan produk masing-masing. Presiden DPUKM, Datuk Seri Abu Hasan Mohd Nor menyatakan bahawa HUN 2022 yang bertemakan ‘Usahawan Pemangkin Negara’ itu mempunyai matlamat yang besar. “Selain merancakkan kembali ekonomi para usahawan yang terjejas dengan pandemik COVID-19, acara berkenaan juga diadakan untuk membantu peniaga dan bakal peniaga menerusi perkongsian informasi dalam pelbagai program yang dianjurkan termasuk lot pameran pelbagai agensi kerajaan.”

“Tujuan HUN 2022 dianjurkan adalah untuk mengukuh dan mengembangkan segala teras sokongan keusahawanan yang telah dan akan disediakan oleh kerajaan menerusi pelbagai agensinya.” Selain itu, HUN 2022 juga bermatlamat untuk meningkatkan ekonomi usahawan di Malaysia ke peringkat global dan mencipta kesedaran masyarakat dalam memilih bidang keusahawanan.

“HUN 2022 telah menyediakan pusat info keusahawanan melalui taklimat pelbagai agensi termasuk FAMA, MARA, Agrobazaar Online dan Akademi Jana Usahawan. “Tidak ketinggalan diadakan taklimat mengenai kerjaya, klinik keusahawanan (latihan dan mentor), simposium ekonomi dan keusahawanan, biz forum (peluang pembiayaan bersama Tekun Nasional) dan pocket talk (wawancara ikon usahawan secara langsung).

“Rugi jika usahawan dan mereka yang berminat dalam perniagaan tidak hadir ke HUN 2022. Semua informasi berkaitan perniagaan ada di sini.”

Selain itu, pelbagai aktiviti disediakan untuk memeriahkan lagi HUN 2022 seperti persembahan artis popular, car free morning dan jogathon 1000 peserta di Dataran Merdeka. Tidak ketinggalan, acara rancangan mainan akal, persembahan battle of the band, pertunjukan kereta dan motosikal klasik, kereta mewah, Malam Aneka Ragam Pop Yeh Yeh, Retro Klasik, Warisan HUN dan belon udara panas.

Acara kemuncak HUN 2022 adalah makan malam gala yang diadakan pada 28 Mac, bersempena majlis anugerah untuk golongan usahawan. “Pelbagai peringkat Anugerah Keusahawanan Kebangsaan akan diberikan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi sebagai sebahagian daripada sambutan ini. “Anugerah ini bertujuan untuk mengiktiraf dan memberi penghormatan kepada usahawan dan pembina ekosistem keusahawanan atas dan ketekunan usaha cemerlang mereka menyumbang ke arah merancakkan kembali sektor ekonomi negara.”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.