25 Mac 2022, 09:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Proton telah melancarkan inisiatif tenaga solarnya di kilang Tanjung Malim bagi membantu pengeluar kereta nasional itu mengurangkan pelepasan karbon dioksida sebanyak 11 536 tan setahun sambil menjimatkan kos utiliti. Kemudahan tenaga solar Proton meliputi kawasan seluas 23.4 ekar yang menyediakan ruang parkir untuk 2880 kereta dan digunakan sebagai tempat transit untuk kereta yang dikeluarkan di Tanjung Malim sebelum diedarkan ke seluruh negara.

Kemudahan panel solar di tempat letak kereta itu diliputi oleh 20 544 panel solar dwimuka yang  boleh menjana tenaga daripada cahaya matahari secara langsung pada bahagian atas serta pantulan cahaya matahari dari permukaan jalan dan kereta yang diletakkan di bawah panel tersebut. Kereta yang baru dihasilkan juga turut dilindungi daripada unsur-unsur kerosakan di kawasan parkir itu. Gabungan tenaga yang dijana daripada kemudahan panel solar ialah 12 megawatt puncak (MWp), cukup untuk menampung sehingga 25% daripada penggunaan kuasa di kilang itu.

Kemudahan panel solar tempat letak kereta itu boleh menjana 9MWp. Kemudahan itu dibina dan ditauliahkan oleh Pekat Group dan rakan sekutunya MFP Solar. “Kemudahan itu juga berpotensi untuk mengurangkan bil elektrik Proton sebanyak RM4.39 juta setahun dengan penjimatan sebanyak RM1.46 juta melalui 3MWp yang dijana melalui panel yang dipasang di atas bumbung kilang.”

Syarikat itu melancarkan Proton Green Wheel dan Polisi Hijau pertamanya pada tahun 2015 yang terdiri daripada lima fasa melibatkan sistem pengurusan tenaga; kecekapan tenaga; pengurusan sisa dan air; tenaga boleh diperbaharui melalui loji tenaga solar; dan mendigitalkan semua data tenaga Proton pada pelayan awan bagi memperkenalkan kecerdasan buatan dan analisis data besar.

Inisiatif ini telah mencapai penjimatan bil elektrik sebanyak RM20 juta atau bersamaan penjimatan 55,000MWj dan lebih 40,000 tan pengurangan pelepasan karbon dioksida ke udara dalam tempoh lima tahun dari tahun 2015 hingga tahun 2020.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.