25 Mac 2022, 09:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kerajaan negeri Johor memperuntukkan RM1.5 juta bagi membantu koperasi kecil dan mikro dalam usaha untuk memulakan semula aktiviti perniagaan tahun ini. Hal itu susulan perkembangan dan pencapaian koperasi di negeri itu yang kekal relevan dan terus mendapat kepercayaan kerajaan negeri.

Menurut Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Johor, Fadilah Salim, Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd (PUJB) yang merupakan agensi kerajaan negeri turut menyediakan geran kepada koperasi melalui Program Pembangunan Ekonomi Setempat bagi membiayai projek berdaya maju dan bermanfaat kepada komuniti setempat.

“Perkembangan dan pembangunan koperasi di Johor turut mendapat sokongan dan kepercayaan menerusi pelbagai program penyelarasan bersama agensi lain seperti Felcra Berhad (Felcra), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa). “Berdasarkan sokongan yang diberikan kerajaan negeri dan agensi lain ini terbukti koperasi di negeri ini mampu memainkan berperanan besar kepada anggotanya bahkan menjadi pemangkin menerusi perkongsian kemakmuran bersama rakyat.”

Jelasnya lagi, SKM negeri bertekad untuk membawa perubahan bagi memastikan koperasi dapat beri manfaat kepada ahli dan komuniti setempat. Perancangan itu juga selari dengan hasrat SKM dalam memacukan pembangunan koperasi yang lebih progresif dan berdaya saing sekaligus memberi manfaat kepada sosioekonomi rakyat selari dengan Pelan Transformasi Koperasi Malaysia 2021-2025 (TransKoM) yang dilancarkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC).

“Sasaran tahun ini adalah untuk meluaskan lagi skala operasi dan aktiviti ekonomi seperti pembabitan dalam sektor pertanian moden seperti fertigasi memandangkan Johor mempunyai modal tanah yang besar. “Gabungan aktiviti antara koperasi dan agensi lain juga dapat membuka peluang untuk mewujudkan hub pertanian moden dan memberi pulangan lumayan apabila pintu sempadan dibuka kelak selain segmen ekonomi pembangunan hartanah yang sedia ada.”

Menyentuh tentang pencapaian koperasi di negeri itu, 10 koperasi Johor terpilih bagi Indeks 100 Koperasi Terbaik Malaysia 2021. Selain itu, SKM Negeri Johor telah menerbitkan buku 50 Koperasi Terbaik Johor sejak tahun 2016. Pada masa sama, SKM negeri memainkan peranan penting sebagai pelaksana untuk merangsang pembangunan koperasi melalui penglibatan dalam sektor ekonomi bernilai tinggi serta memantapkan keupayaan dan kebolehan koperasi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.