25 Mac 2022, 09:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – TDM Bhd telah menerima tawaran daripada Ikhasas Sdn Bhd untuk mengambil alih dua anak syarikat di Indonesia yang tidak menguntungkan pada harga RM115 juta. TDM menyatakan bahawa anak syarikatnya  iaitu PT Rafi Kamajaya Abadi (RKA) dan PT Sawit Rezki Abadi (SRA) tidak menjana keuntungan sejak tahun pertama pengeluaran sawit, manakala SRA tidak menjalankan operasi sejak pengambilalihannya oleh kumpulan pada tahun 2015.

“Kedua-dua anak syarikat itu dijangka tidak akan mencatat keuntungan dalam tempoh terdekat,” kata TDM sambil menambah bahawa kumpulan juga menerima deposit pendahuluan sebanyak RM2.3 juta daripada Ikhasas. TDM, sebuah kumpulan perladangan dan penjagaan kesihatan turut menambah bahawa mereka telah menerima tawaran daripada Ikhasas pada 21 Mac 2022. Ikhasas terlibat dalam perniagaan minyak sawit dan perdagangan serta mengeksport produk sawit. Kumpulan itu berkata ini akan membolehkan TDM menyelaraskan aktiviti perniagaannya dan menumpukan semula tenaga serta sumbernya kepada usaha niaga yang berdaya maju dengan lebih berkesan tanpa perlu berdepan dengan sebarang isu warisan.

Tawaran tersebut  bersyarat dengan TDM dan Ikhasas memenuhi syarat khusus tertentu yang telah dipersetujui dalam tempoh enam bulan dari tarikh penerimaan tawaran atau satu tempoh lebih lama yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak. “TDM akan berunding secara eksklusif dengan Ikhasas berkenaan cadangan pelupusan dalam tempoh ini atau sehingga tarikh yang kemudian seperti yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.”

TDM telah merekodkan kemerosotan nilai pelaburan aset di Indonesia sejak tahun kewangan 2017 yang berjumlah RM729 juta. Kedua-dua aset di Indonesia itu juga telah diklasifikasikan sebagai aset dipegang untuk jualan sejak tahun 2019.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.