24 Mac 2022, 09:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Moscow – Rusia menetapkan penjualan gas aslinya akan menggunakan mata wang ruble, khususnya kepada negara yang dianggap tidak mesra, sekali gus menyaksikan harga gas dan minyak di Eropah melonjak naik. Presiden Rusia Vladimir Putin menyatakan bahawa langkah itu sebagai balasan terhadap tindakan Barat membekukan aset milik Rusia.

“Saya telah memutuskan untuk melaksanakan satu set langkah untuk menukar pembayaran secepat mungkin. Kita mulakan dengan menukar pembayaran untuk gas asli kita yang dibekalkan kepada negara yang dikatakan tidak mesra dengan Rusia kepada ruble Rusia.” “Semua pengguna asing harus diberi peluang untuk membuat transaksi yang diperlukan dan harus ada prosedur telus yang boleh difahami untuk mereka membuat pembayaran termasuk prosedur pembelian ruble Rusia dalam pasaran pertukaran asing domestik kami.” “Saya sudah arahkan Bank of Rusia, bersama-sama dengan kerajaan, untuk menentukan prosedur bagi transaksi sedemikian dalam masa seminggu.” katanya dalam sidang video khas di Moscow.

Mesej yang dibawa Putin jelas iaitu jika anda mahukan gas kami, beli mata wang kami.
Bagaimanapun, masih tidak dapat dipastikan sama ada Rusia berkuasa untuk menukar secara unilateral kontrak sedia ada yang dipersetujui dalam euro. Putin pada masa sama memberi jaminan bahawa bekalan akan terus disalurkan oleh Rusia di sebalik sekatan ekonomi yang dikenakan Barat. “Pada masa yang sama, saya ingin menekankan bahawa Rusia akan meneruskan dengan segala cara untuk membekalkan gas asli mengikut jumlah, harga dan prinsip penetapan harga yang ditetapkan dalam kontrak yang dibuat sebelum ini.”

Negara Eropah bergantung besar kepada bekalan tenaga dari Rusia untuk kegunaan kilang dan rumah penduduk khususnya pada musim sejuk. Sejak keputusan itu dibuat, harga pukal bagi gas di Eropah melonjak sehingga 30% dan nilai ruble pula meningkat selepas kejatuhan mendadak pasca sekatan Barat. Cabaran yang dihadapi oleh Kesatuan Eropah (EU) untuk mencari jalan pembayaran yang lebih mudah memandangkan institusi kewangan blok itu dihalang dari berurusan dengan Rusia. Pertukaran ini bermakna insititusi kewangan EU perlu mendapatkan ruble daripada pasaran domestik Rusia.

Setakat ini 40% bekalan gas Eropah adalah dari Rusia namun ketika ini EU sedang berusaha mempelbagaikan sumber bekalan bagi mengurangkan kebergentungan terhadap Rusia. Namun begitu, Organisasi Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) sebelum ini menegaskan bahawa tidak ada satu sumber di dunia yang mampu mengantikan sumber minyak Rusia sebanyak 7 juta tong sehari.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.