Oleh Ritah Yahaya
20 Mac 2022, 16:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Beluran –  Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, turun padang hari ini bagi menjayakan Program Jelajah Nelayan Beluran dan merasmikan titian nelayan di Kampung Keniogan, Beluran. Turut hadir dalam program jelajah ini, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Labuk, Yang Berhormat Tuan Samad bin Jambri; Setiausaha Bahagian Industri Tanaman Ternakan dan Perikanan (ITTP), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI),  Mazlan  Othman; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM),  Kusuadi Sallih; Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) LKIM,  Khaironnesak Omar; Pengarah LKIM Sabah, Mohd Jamil Abdullah; Penolong Pegawai Daerah Beluran, Tuan Leprus Esuvas Giswa, dan Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Beluran,  Uting Rahmat.

Dalam program ini, Dr. Ronald merasmikan titian nelayan yang telah siap pada 13 Mac 2022 yang mana projek ini telah bermula pada 4 Mei 2021 dengan kos keseluruhan bernilai RM 1 juta. Dr. Ronald berkata projek titian konkrit ini akan memberikan lebih keselesaan kepada semua penduduk di Kampung Keniogan, khususnya golongan nelayan memandangkan keadaan titian yang lama telah usang dan tidak lagi sesuai untuk digunakan. “MAFI akan terus melihat keperluan kemudahan asas dan infrastruktur lain yang diperlukan oleh kampung-kampung nelayan seluruh negara dan akan angkat kepada perhatian Kementerian Kewangan untuk permohonan dana tambahan bagi memastikan semua inisiatif yang dilaksanakan oleh LKIM diteruskan. “Kerajaan melalui LKIM sentiasa memainkan peranan yang penting dan berkesan dalam menjaga kebajikan serta terus memperbaiki kedudukan sosioekonomi dan mengurangkan bebanan nelayan,” kata Dr. Ronald.

Selain itu, bagi membangunkan infrastruktur jeti sedia ada, tiga lokasi lain juga telah dibaik pulih sebelum ini iaitu di Jeti Kampung Muanad II, Jeti Kampung Seri Menanti dan Jeti Kampung Keramat. 18 buah lagi jeti dan titian di sekitar kampung-kampung nelayan di Beluran sedang dalam dua perancangan LKIM untuk dibaik pulih, dinaik taraf serta bina baharu yang akan memberi kemudahan pendaratan ikan yang lebih baik.

Kerajaan sentiasa menyediakan peruntukan bagi membangunkan pelbagai kemudahan dan inisiatif untuk nelayan termasuk kemudahan infrastruktur seperti pelabuhan perikanan, kompleks pendaratan ikan, jeti-jeti dan lain-lain lagi di seluruh negara. Setakat ini, LKIM telah membina sebanyak 46 buah kompleks pendaratan ikan. Kemudahan seumpama ini banyak membantu nelayan mendaratkan dan memasarkan hasil tangkapan ikan.

Di Sabah, LKIM dalam kajian kesesuaian tapak untuk membina sebuah kompleks pendaratan ikan moden di tapak tanah LKIM di Sandakan. Dalam pada itu, YB Menteri turut meninjau rumah nelayan di bawah Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) di Kampung Keniogan, Beluran. Ini adalah sebahagian daripada 200 buah rumah nelayan yang telah dan sedang dibaik pulih oleh LKIM di kawasan Beluran dengan peruntukan sebanyak RM3 juta. Sebelum ini, LKIM juga telah membaik pulih 152 buah rumah nelayan di kawasan Beluran.

Projek PKPN merupakan usaha Kerajaan Persekutuan bagi meningkatkan taraf hidup isi rumah berpendapatan rendah dengan membaik pulih rumah, membina rumah baharu dan mewujudkan penempatan semula nelayan supaya golongan nelayan menikmati kualiti hidup yang lebih baik dan selesa. Kerajaan melalui LKIM telah memperuntukkan lebih RM150 juta pada tahun ini bagi menyediakan bantuan dan insentif kepada masyarakat nelayan seluruh negara yang merangkumi ESHN, Subsidi Minyak Diesel dan Petrol, Dana Nelayan, Tabung Bencana dan Kebajikan Nelayan, Projek Tanaman Kotan, Bantuan Projek Ekonomi Kumpulan Nelayan, dan Program Food Basket Nelayan. Terdapat 582 orang nelayan aktif di Kawasan berkenaan telah menerima Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) dengan kadar bayaran RM300.00 sebulan.

ESHN ini ditingkatkan oleh kerajaan bermula bulan Januari 2021, dengan kadar RM250.00 kepada RM300.00 sebulan  memberikan manfaat kepada 35 000 orang nelayan laut seluruh negara. Menurut Dr. Ronald, golongan nelayan merupakan antara barisan hadapan sektor agromakanan yang sangat penting dalam memastikan kelangsungan bekalan makanan negara. Tambah beliau lagi, “Kerajaan melalui MAFI dan LKIM akan terus memastikan kebajikan semua golongan sasar sentiasa terbela serta memastikan kelangsungan dan kelancaran rantaian bekalan makanan.”

Dalam majlis yang sama, Dr Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran turut menyampaikan Bantuan Persekolahan kepada 130 orang murid SK Keniogan yang  disumbangkan oleh Yayasan Nelayan Malaysia (YANEM) dengan peruntukan sebanyak RM6500.00. MAFI melalui agensinya, LKIM telah dan akan sentiasa memainkan peranan yang penting dan berkesan sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kebajikan, memperbaiki kedudukan sosioekonomi nelayan dengan menumpukan peningkatan pendapatan dan memajukan perusahaan perikanan negara serta memastikan bekalan ikan mencukupi di seluruh negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.