Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSintok – Dua orang graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan, Nawee Sukkanja a/p Fan, 27 tahun dan Nur Diyana Mastura Mohd Zul, 27 tahun, berkongsi cerita dunia baharu yang ditempuhi oleh mereka yang penuh warna-warni.
Nur Diyana Mastura mengakui menimba pengalaman berharga sebagai pengurus restoran Burger King. “Sejujurnya saya tidak merancang untuk bekerja dalam bidang F&B kerana tujuan bekerja ketika itu adalah untuk mengisi masa terluang sementara menunggu panggilan kerja daripada mana mana syarikat. Saya bermula hanya sebagai petugas (crew), belajar dari ‘station counter’ kemudian ‘board station’.” Nur Diyana Mastura ditawarkan jawatan penolong pengurus selepas tiga bulan bekerja disebabkan dirinya ialah pekerja seorang yang cepat belajar, komited dan tekun bekerja.
“Tanpa berfikir panjang, saya terima peluang keemasan dan kepercayaan yang diberikan, inilah masanya untuk saya menunjukkan kebolehan dalam bidang pengurusan walaupun masih baharu dalam bidang itu. “Selepas dipromosi sebagai penolong pengurus, saya ditukarkan ke cawangan lain setiap empat bulan dan saya dapat mempelajari banyak perkara sepanjang tempoh itu.” Beliau mendapati bahawa bidang F&B tidaklah sukar kerana telah mendapat pendidikan di UUM. “Jadi mudahlah kerja saya kerana banyak yang dapat diaplikasikan daripada kelas tersebut termasuk aduan, maklum balas, dan cara untuk menghadapi pelanggan. Semuanya kita dapat kaitkan apabila berhadapan dengan situasi sebenar. Jika di dalam kelas kita hanya belajar teori dan asas tetapi realitinya jauh berbeza dengan apa-apa yang kita belajar,” ujarnya.
Impian Nawee Sukkanja adalah menjadi pensyarah dan impian itu menjadi kenyataan apabila beliau mendapat pekerjaan sebagai pensyarah Pengurusan Perniagaan di sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur. “Saya baru sahaja mendapat kerja sebagai pensyarah dan tugasan ini mempunyai cabaran tersendiri, tambahan pula kini sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) harus dilaksanakan secara dalam talian disebabkan pandemik COVID-19,” ujar gadis manis berketurunan Siam yang berasal dari Perlis ini.
Semuanya bermula ketika beliau melihat situasi pandemik COVID-19 yang telah mencetus idea untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana sebaik-baik sahaja tamat pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan pada tahun 2020. “Sudah tentunya antara sebab melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi kerana saya ingin mengejar cita-cita saya untuk bergelar seorang pensyarah di samping memenuhi impian ibu ayah tercinta.”
Jelasnya, pensyarah pada hari ini harus menjadi lebih kreatif dalam melaksanakan kelas secara dalam talian dan sentiasa memastikan para pelajar memperoleh ilmu yang ingin disampaikan dengan baik. “Sudah pasti suasana alam pekerjaan agak berbeza dengan zaman belajar tetapi saya rasa bersyukur kerana aktif melibatkan diri dalam organisasi sejak di universiti lagi dan tidak kekok dalam mengaplikasikan segala pengalaman dan ilmu yang telah diperolehi sebelum ini di tempat kerja dengan baik dan juga teratur,” kongsi anak keempat dari lima beradik.
Jelasnya, UUM membentuk mahasiswa holistik yang cemerlang bukan hanya dalam bidang akademik tetapi juga kokurikulum sekali gus melahirkan banyak graduan cemerlang, versatil dari aspek kepimpinan, keusahawanan dan digital. “Saya bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum kerana melalui aktiviti ini saya dapat pengalaman dan ilmu berkaitan dengan pengurusan organisasi, pengurusan masa, komunikasi, pengalaman dalam bidang keusahawanan yang dapat menjalankan aktiviti perniagaan di dalam kampus dan bekerja secara berkumpulan,” katanya.
Menurutnya, antara petua belajar yang diamalkannya adalah sentiasa berhubung dan bertanya dengan pensyarah bagi memastikan segala tugasan dapat disiapkan dengan baik. Belajar berkumpulan juga merupakan salah satu kaedah yang baik kerana dapat mengatasi rasa bosan dan bertukar idea serta nota dengan rakan-rakan.