Oleh Ritah Yahaya
19 Mac 2022, 14:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pulau Pangkor, Perak  – Yang Berhormat Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna  menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (Retail Digitalisation Inisiative – ReDI) di Pulau Pangkor, Perak.

Pelancaran ReDI di negeri Perak merupakan kesinambungan usaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersama-sama Kerajaan Negeri, Bank Negara Malaysia (BNM) dan rakan strategik daripada penyedia e- dompet, iaitu Maybank, Touch n Go, GrabPay, Paynett, Boost dan ShopeePay bagi menggalakkan pemain industri sektor peruncitan sentiasa seiringan dengan perkembangan digitalisasi, terutamanya teknologi transaksi pembayaran secara digital serta memastikan setiap transaksi dilaksanakan dalam keadaan selamat sama ada dari segi kesihatan (kebiasaaan baharu) dan proses kewangannya.

Inisiatif ReDI juga mendokong kerangka pelaksanaan MyDIGITAL, Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) dan Pelan PelaksanaanDasar (PPD) RMK-12 negara bagi sektor peruncitan dalam membantu peniaga melonjakkan semula ekonomi pascapandemik COVID-19 ini.

Majlis Pelancaran ini adalah sebahagian daripada rangka kerja ReDI yang akan dilaksanakan di seluruh negara. Tumpuan utama Kementerian ketika ini adalah keperluan bagi peniaga pada peringkat mikro dan kecil supaya mengadaptasikan gelombang digitalisasi serta mengguna pakai e-dompet,terutamanya di kawasan luar bandar.

Sejak awal lagi Kementerian berpandangan bahawa semua peniaga, termasuklah peniaga mikro dan kecil perlu dibantu dalam dunia digitalisasi perniagaan sekurang-kurangnya melalui penggunaan e-wallet dan e-dagang bagi memastikan golongan ini tidak tercicir dalam arus perdana model baharu perniagaan secara digital. Sejumlah 3347 orang peniaga  mengadaptasikan program ReDI hingga 15 Mac 2022.

Selain pelancaran ReDI pada hari ini, pihak ShopeePay juga berbesar hati menyumbangkan sebanyak 100 unit peralatan perniagaan (Payung Niaga) kepada peniaga kecil yang dikenal pasti  di sekitar Pangkor bagi melindungi daripada cuaca hujan dan panas. ReDi merupakan  pemangkin kepada peniaga mikro dan kecil memulakan atau mengembangkan perniagaan.

Selain itu, bagi menyokong pelaksanaan program ReDI di Pangkor ini, Kementerian menerusi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) sedang melaksanakan satu program insentif baharu untuk menggalakkan pengguna berbelanja tanpa tunai dalam usaha menjadikan Pangkor sebagai Pulau Digital Tanpa Tunai.

Program Insentif Norma Baharu 2022 ini akan melibatkan sumbangan keseluruhan berjumlah RM10 000.00. Pemberian sebanyak RM20.00 kepada 500 orang pengguna boleh ditebus menggunakan aplikasi e-dompet terpilih.

Pada masa yang sama, Kementerian juga meneruskan perluasan Kempen Pembudayaan Norma Baharu COVID-19 Sektor Peruncitan di Jeti Pulau Pangkor. Satu daripada langkah yang akan digunakan dalam kempen ini adalah melalui pemasangan Sistem Ulang Siar Digital. Sistem ini merupakansatu strategi bagi memudahkan semua pihak menerima maklumat dengan pantas dan mudah.

Kementerian mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Perak dan Majlis Perbandaran Manjung (MPM) yang memberikan kerjasama dan sokongan yang sangat baik dalam menjayakan inisiatif ini.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, pihak pemain industri dan orang ramai boleh menghubungi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) di talian penting 03-8882 5881/5905 atau melalui e-mel kepada [email protected]

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.