18 Mac 2022, 16:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) serantau Airasia Ride, Lim Chiew Shan menyatakan bahawa Airasia Ride merancang untuk mengembangkan perkhidmatan e-panggilan ke  negara Thai pada bulan depan. Beliau menambah syarikat itu akan bermula dengan Bangkok sebelum mengembangkan liputannya ke bandar lain di negara itu.

“Kami bermula dengan 5000 buah teksi, selepas beberapa bulan, kami akan mendapatkan pemandu persendirian,” katanya kepada media selepas pelancaran ciri pemandu komuniti. Airasia Ride ialah perkhidmatan e-panggilan oleh Airasia Super App di bawah Capital A Bhd.

Perkhidmatan itu dilancarkan pada bulan Ogos 2021 dan mempunyai lebih daripada 30 000 orang pemandu setakat ini serta menyelesaikan 700 000 pemanduan di seluruh negara.

Ketua Pegawai eksekutif Airasia Super App, Amanda Woo menyatakan bahawa perkhidmatan itu memenuhi keperluan penumpang yang berbeza, bermula dengan menawarkan penumpang wanita pilihan untuk dipandu oleh pemandu wanita.” Kami sentiasa berinovasi untuk menawarkan perkhidmatan yang lebih baik dan pengalaman yang diperibadikan untuk pengguna airasia Super App, dan kami yakin ciri pemandu komuniti, bermula dengan ciri LadiesONLY akan menarik minat pengguna Airasia Ride sedia ada dan menarik lebih banyak pengguna baharu.”

Amanda Woo turut menambah Airasia Ride buat pertama kalinya akan menaja  pemandu wanita  yang ingin menyertai perkhidmatan e-panggilan tanpa pengalaman, e-panggilan atau lesen e-panggilan dengan menawarkan faedah seperti pengecualian yuran untuk kursus dan peperiksaan pemanduan kenderaan perkhidmatan awam serta pemeriksaan perubatan percuma.

Selain itu, para pemandu akan menerima 85% daripada tambang bersih lebih tinggi daripada perkhidmatan e-panggilan lain dalam pasaran, menjadikannya pilihan pekerjaan sambilan dan peluang menjana pendapatan sampingan yang berdaya maju. Pada masa ini, Airasia Ride mempunyai 500 orang pemandu wanita dan menyasarkan untuk mempunyai 5000 orang pemandu wanita pada tahun ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.