17 Mac 2022, 20:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sintok – “Ijazah bukan jaminan untuk mendapat kerja dan memiliki ilmu sahaja juga tidak cukup untuk meletakkan kita di tempat yang tinggi,” kata pemegang francais restoran makanan segera, Marrybrown, Norharizan Hussain.

Beliau yang merupakan graduan Sarjana Pentadbiran Perniagaan menyatakan bahawa untuk berjaya dan mendapat tempat dalam pasaran pekerjaan, pencari kerja perlu memiliki kriteria seperti rajin berusaha untuk maju, disiplin, tidak malu bertanya, kuat fizikal dan mental, profesional, berintegriti, bijak komunikasi dan menganggap syarikat seperti milik sendiri.

Menurutnya, semua graduan berharap untuk mendapat pekerjaan yang dapat menjamin masa hadapan namun dalam keadaan pandemik COVID-19 yang tidak menentu meletakkan mereka dalam situasi sukar untuk mendapat kerja. “Apa yang mereka boleh lakukan ialah bijak merebut peluang, tingkatkan kemahiran diri, kuasai pelbagai bahasa, mempunyai mentor, seimbangkan hidup dari segi sosial dengan masyarakat dan penuhi tuntutan agama, Insya-Allah rezeki akan datang.”

“Selain itu, seawal berada di universiti juga pelajar sudah boleh berjinak-jinak dalam bidang perniagaan secara kecil-kecilan. Hari ini kita melihat perkembangan pesat ekonomi digital misalnya Food Panda, MauTapau, Loncat-Loncat dan Grab Food yang semakin diceburi anak muda,” katanya yang menerima ijazah pada sesi kedua Majlis Konvokesyen Ke-33 UUM. Norharizan turut menambah sebagai majikan juga, beliau telah merancang pelbagai strategi dan program untuk melangkah lebih jauh dalam dunia keusahawanan termasuk melayan dan menyayangi semua pekerja seperti anak-anak sendiri.

Bercerita tentang permulaan menjalankan perniagaan, anak kelahiran Alor Setar itu berkata, beliau minat berniaga sejak usia muda lagi meskipun terpaksa menempuh pelbagai halangan dan rintangan. Menurutnya, beliau sanggup berhijrah ke Johor untuk mengikut latihan sebagai ahli pasukan sokongan Marrybrown, selain terlibat dengan pembukaan cawangan Marrybrown yang baharu.

Kecekalan beliau itu membolehkan Norharizan menjadi francaisi dengan memiliki dua cawangan Marrybrown di Souq Al-Bukhary dan Star Parade di Alor Setar yang diusahakan sejak 16 tahun lalu. Bagi melengkapkan lagi impiannya menjadi ahli perniagaan berilmu, beliau mengambil keputusan untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi lagi walaupun telah memiliki ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan pada usia 50 dan ijazah sarjana pada usia 52.

“Kini saya sedang mengatur untuk mengambil ijazah Doktor Falsafah dan pada masa sama melakukan kerja komuniti sebagai pulangan kepada masyarakat. “Terlalu banyak kenangan manis yang dikecapi sepanjang tempoh pengajian di UUM yang menuntut pengorbanan cukup tinggi untuk mendapat segulung ijazah.” “Banyak cabaran sebenarnya semasa belajar tetapi dengan berkat usaha tanpa mengenal erti penat, doa dan mendapat pensyarah yang berpengetahuan luas, saya dapat mengatasinya dengan pertolongan Allah yang memberi jalan keluar yang sungguh menakjubkan,” katanya.

Beliau telah menerima ijazah yang disampaikan oleh Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.