Oleh Ritah Yahaya
15 Mac 2022, 15:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kajang – Tahun ini merupakan julung-julung kalinya negara kita menyambut Bulan Pengguna Kebangsaan 2022 (BPK) setelah Jemaah Menteri dalam mesyuarat pada bulan Disember 2021 bersetuju mengisytiharkan bahawa bulan Mac setiap tahun ialah Bulan Pengguna Kebangsaan dan  15 Mac ialah Hari Hak-hak Pengguna Kebangsaan bersempena dengan sambutan Hari Hak-hak Pengguna Sedunia atau World Consumer Rights Day sebagaimana yang ditetapkan oleh Consumers International yang beribu pejabat di London.

Tema ini menjurus ke arah kesaksamaan kewangan digital. Berteraskan tema ini juga, digitalisasi pengguna dipilih sebagai tema sambutan Hari Pengguna Kebangsaan yang lebih menggambarkan senario perubahan trend pengguna di Malaysia ke arah urus niaga perkhidmatan dan pembelian menggunakan platform digital.

Pengisytiharan ini merupakan satu pengiktirafan dan komitmen
kerajaan bahawa pengguna di Malaysia merupakan satu entiti terpenting yang hak-hak mereka harus dirakyatkan dan dilindungi seperti juga hak-hak yang lain seperti Wanita dan Ibu yang dirayakan setiap tahun.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melalui Kajian Indeks Pendayaupayaan Pengguna Malaysia yang dijalankan pada tahun 2020 mengakui tahap pengetahuan pengguna Malaysia tentang hak-hak mereka sebagai pengguna dan jati diri untuk mempertahankan hak mereka masih terlalu sederhana, iaitu 63.1%. Oleh itu, KPDNHEP mengajak semua pihak terutama Pertubuhan Bukan Kerajaan Pengguna, Persatuan Pengguna pada peringkat universiti,  kolej dan masyarakat pengguna untuk merancakkan advokasi dan pendidikan berkenaan hakpengguna serta saluran aduan dan tindakan untuk melindungi hak-hak mereka daripada tipu daya  peniaga yang tidak beretika serta penyedia perkhidmatan yang tidak bertanggungjawab.

KPDNHEP juga menyeru supaya taktik dan teknik penyampaian advokasi itu dipelbagaikan bersesuaian dengan teknologi masa kini dan kehendak semasa agar ianya berkesan dan cepat meresap menjadi budaya kepenggunaan yang sihat dan mampan.

Satu medium baharu yang diambil oleh KPDNHEP ialah advokasi melalui pengangkutan awam. Pelaksanaan ini dibuat melalui kerjasama penyedia perkhidmatan pengangkutan awam, Mass Rapid Transit atau MRT.

Perkhidmatan MRT ini dipilih kerana perkhidmatan ini mempunyai sebahagian besar pengguna, khususnya di Lembah Klang sebagai medium pengangkutan harian dan merupakan model pengangkutan awam masa depan yang menyerapkan elemen digitalisasi secara meluas.

Kerjasama ini dilihat bersesuaian dan mampu memberikan impak positif kerana capaian kepada pengguna yang dimiliki oleh MRT dengan purata 62 000 orang penumpang sehari yang  pengguna akan menghabiskan sebahagian masa mereka berada di dalam koc MRT untuk ke destinasi masing-masing setiap hari.

Kementerian juga sentiasa mengenal pasti kaedah lain untuk menyampaikan maklumat kepada pengguna, antaranya termasuklah kerjasama dengan pemoengaruh dan platform e-dagang di samping medium konvensional bagi meluaskan hebahan berkenaan dengan hak pengguna dan contoh kes hak tersebut dicabuli dan dimanipulasi.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.