Oleh Ritah Yahaya
17 Februari 2022, 11:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi atau nama ringkasnya LITB telah dilaksanakan bermula 15 November 2021 sebagai projek rintis untuk tempoh tiga bulan. Projek rintis ini menguji kesediaan dan siap siaga ekosistem pelancongan negara, khususnya para penggiat industri pelancongan serta para pekerja barisan hadapan untuk menerima kedatangan pelancong asing ke Malaysia secara berperingkat dan selamat.

Sehubungan dengan itu, Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 Bil.2/2022 pada 8 Februari 2022 bersetuju bahawa Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi (LITB) dilanjutkan hingga sempadan negara dibuka. Prosedur Operasi Standard kemasukan pengembara asing ke Malaysia melalui LITB diselaraskan mengikut ketetapan dan garis panduan terkini yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diwartakan pada 16 Februari 2022. Perubahan yang telah dikemaskinikan adalah seperti yang berikut:

  1. Pelancong yang telah menerima dos penggalak dibenarkan keluar dari Pulau Langkawi pada hari ke-5 jika ujian RT-PCR pada hari ke-4 negatif ATAU RTK-Ag (Profesional) pada hari ke-5 negatif;
  2. Kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke bawah boleh turut serta melancong bersama-sama ibu bapa/penjaga masing-masing yang telah menerima vaksin tanpa perlu menunjukkan bukti vaksinasi;
  3. Kanak-kanak di bawah umur dua (2) tahun TIDAK PERLU membuat saringan COVID-19;
  4. Setiap pelancong asing diwajibkan untuk membeli polisi insurans bernilai USD 50 000.00 (COVID-19 dan pengembaraan). Warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara dikecualikan daripada syarat ini; dan
  5. Penerbangan masuk melalui KLIA2 dibenarkan (bermula 22 Februari 2022).

Prosedur Operasi Standard ini berkuat kuasa bermula pada 16 Februari 2022 dan akan menjadi penanda aras Prosedur Operasi Standard pembukaan sempadan kelak. Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya berkata, “Adalah diharapkan bahawa keputusan ini akan disambut baik oleh pengunjung antarabangsa yang berhasrat untuk datang ke Malaysia melalui LITB pada masa ini.”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.