15 Februari 2022, 10:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

SINGAPURA – Pertumbuhan trafik sebanyak 5.3 peratus setahun dan semakin banyak pesawat lama kurang cekap bahan api dihentikan pengunaannya akan menyaksikan rantau Asia Pasifik memerlukan 17,620 pesawat penumpang dan pengangkut baharu menjelang tahun 2040, kata Airbus.

“Hampir 30 peratus daripada jumlah ini akan menggantikan pesawat lama yang kurang cekap bahan api,” kata pengeluar pesawat Eropah itu dalam laporan terbarunya.

Laporan itu menyebut rantau yang menempatkan 55 peratus penduduk dunia, China, India dan negara sedang pesat membangun seperti Vietnam dan Indonesia akan menjadi pemacu utama pertumbuhan di Asia Pasifik.

Laporan itu juga menyebut Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) rantau itu akan berkembang pada 3.6 peratus setahun berbanding purata dunia sebanyak 2.5 peratus dan dua kali ganda nilainya menjelang tahun 2040.

Rantau Asia Pasifik akan terus memacu permintaan dengan kira-kira 42 peratus daripada keperluan global bagi kategori jarak sederhana dan panjang. Secara keseluruhan, ia mencerminkan pertumbuhan kukuh dalam tempoh 20 tahun akan datang yang mewujudkan permintaan untuk kira-kira 2,440 pesawat pengangkut.

“Kami melihat pemulihan global sedang berlaku dalam trafik udara dan apabila sekatan perjalanan dilonggarkan, rantau Asia-Pasifik akan menjadi salah satu pemacu utamanya semula,” kata Ketua Pegawai Komersial dan Ketua Airbus International, Christian Scherer.

“Kami juga yakin akan berlaku kenaikan semula jumlah trafik di rantau ini dan menjangkakan akan mencapai tahap sama seperti tahun 2019 antara tahun 2023 dan 2025”.

Beliau berkata susulan daripada tumpuan utama terhadap kecekapan dan penerbangan mampan di rantau ini yang menunjukkan produk Airbus berada pada kedudukan yang baik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.