18 Disember 2021, 22:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) menjelaskan bahawa peruntukan baharu S106A Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 yang telah diluluskan dalam Rang Undang-undang Kewangan 2021 pada 15 Disember lalu yang telah memberikan kebenaran kepada HASiL untuk mendapatkan maklumat akaun bank pembayar hanya bagi kes yang melibatkan perintah garnisi yang dikeluarkan oleh pihak mahkamah.

Prosiding garnisi merupakan proses untuk menguatkuasakan penghakiman wang dengan menyita atau menahan hutang yang perlu dibayar kepada mana-mana pihak seperti adanya tunggakan cukai yang belum dijelaskan oleh pembayar cukai. Pengenalan peruntukan baharu ini akan membantu pihak HASiL mentadbir sistem cukai langsung negara dengan lebih efektif yang boleh meminimumkan ketirisan cukai disebabkan oleh kegagalan pembayar cukai melangsaikan cukai mereka dan meningkatkan kadar pematuhan cukai sukarela dalam kalangan pembayar cukai.

Walau bagaimanapun, kuasa yang diberikan dalam peruntukan baharu ini tidak memberikan kuasa mutlak kepada HASiL untuk mengakses akaun bank pembayar cukai dengan sewenang-wenangnya. Proses itu melalui peringkat kehakiman dan hanya terhad kepada kes yang sudah melalui prosiding sivil terlebih dahulu. Bagi pembayar cukai yang sedia menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik, peruntukan itu tidak sepatutnya menimbulkan keresahan kerana perkara tersebut tidak terpakai kepada mereka.

Peruntukan baharu S106A ACP 1967 ini hanya memberikan kuasa kepada HASiL untuk mendapatkan maklumat akaun bank pembayar cukai setelah tindakan garnisi diluluskan oleh mahkamah. HASiL menegaskan bahawa maklumat akaun bank pembayar cukai sedia ada yang tidak melibatkan tindakan garnisi tidak rapat diakses oleh  pihak HASiL melalui peruntukan baharu ini.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi