Oleh Ad Aman
13 November 2021, 08:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jabatan Perangkaan Malaysia semalam mengumumkan bahawa Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia yang merupakan petunjuk prestasi keseluruhan ekonomi negara menguncup 4.5 peratus pada suku ketiga tahun ini.

Di samping itu, pelarasan musim dari suku tahun ke suku tahun KDNK bagi suku ketiga tahun ini juga mencatatkan penyusutan 3.6 peratus berbanding dengan penurunan 1.9 peratus pada suku kedua 2021.

Walau bagaimanapun, prestasi ekonomi bulanan negara direkodkan semakin pulih daripada kejatuhan 7.6 peratus pada Julai kepada penyusutan 4.7 peratus pada Ogos dan -1.1 peratus pada September 2021.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, setakat tiga suku pertama tahun ini, kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia adalah sebanyak tiga peratus.

Dato’ Sri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia berkata prestasi ekonomi pada suku tahun ketiga 2021 dari segi penawaran dipengaruhi oleh kemerosotan dalam semua sektor utama ekonomi, terutamanya sektor Pembuatan dan Perkhidmatan.

Dari sudut permintaan, semua komponen perbelanjaan mencatatkan prestasi negatif kecuali perbelanjaan penggunaan akhir kerajaan.

“Dari segi prestasi sektor, sektor Perkhidmatan yang merupakan penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia menyusut 4.9 peratus pada suku tahun ketiga 2021 berbanding dengan pertumbuhan positif 13.5 peratus pada suku tahun sebelumnya.

“Prestasi ini dipengaruhi oleh subsektor Perkhidmatan swasta yang merekodkan kejatuhan 6.8  berbanding dengan suku sebelumnya, disebabkan oleh Perdagangan borong dan runcit yang merekodkan penurunan dua digit, iaitu 11.7 peratus diikuti subsektor Perkhidmatan perniagaan (-15.8 peratus) dan Makanan dan Minuman dan Penginapan (-16.5 peratus).

Tambahan pula, subsektor Kewangan dan insurans meningkat sederhana 4.4 peratus, disumbangkan oleh segmen kewangan, manakala segmen insurans kekal dengan pertumbuhan yang memberangsangkan.

Subsektor Maklumat dan Komunikasi berkembang 6.2 peratus berbanding dengan 5.9 peratus pada suku tahun kedua 2021, disokong prestasi lebih baik dalam segmen telekomunikasi.

Bagi pelarasan musim suku tahun ke suku tahun, keseluruhan sektor Perkhidmatan telah menyusut 3.1 peratus berbanding dengan penurunan 3.2 pada suku kedua tahun ini.

Sementara itu, sektor lain yang turut merekodkan penyusutan pada suku ketiga tahun ini ialah pembuatan yang menurun secara marginal, iaitu 0.8 peratus, Pertanian (1.9 peratus), Perlombongan dan Pengkuarian (3.6 peratus) dan Pembinaan (20.6 peratus).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.