28 Oktober 2021, 16:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerbitkan Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia (MESR) Siri 10/2021. MESR menumpukan kepada senario ekonomi pada Ogos 2021 dan sorotan statistik akan datang bagi September 2021.

Dato’ Sri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia berkata: “Pada masa ini, situasi COVID-19 kelihatan terkawal dengan jumlah kes harian baharu berkurangan dalam tempoh kebelakangan ini. Tambahan pula, liputan populasi dewasa yang tinggi dan peningkatan bilangan remaja yang divaksin sepenuhnya akan meredakan krisis kesihatan. Keadaan itu memberikan perkembangan positif kepada negara dengan harapan ekonomi akan kembali bangkit menuju pemulihan. Selari dengan itu, beberapa petunjuk ekonomi juga menunjukkan prestasi yang lebih baik”.

Prestasi dagangan Malaysia meneruskan momentum positif pada September 2021 dengan jumlah dagangan meningkat 25.5 peratus (Ogos 2021: 15.7%). Eksport berkembang 24.7 peratus (Ogos 2021: 18.4%), manakala import meningkat 26.5 peratus (Ogos 2021: 12.5%), yang seterusnya menghasilkan lonjakan lebihan dagangan 19.1 peratus (Ogos 2021: 44.7%).

Berdasarkan kepada prestasi industri, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) mencatatkan penguncupan marginal 0.7 peratus berbanding dengan bulan yang sama tahun sebelumnya, dengan trajektori negatif yang lebih baik daripada negatif 5.1 peratus dicatatkan pada Julai 2021. IPP dipengaruhi oleh penyusutan indeks perlombongan dan indeks elektrik. Sementara itu, nilai jualan pembuatan pada Ogos 2021 berjumlah RM126.5 bilion, menyumbang kepada pertumbuhan yang lebih tinggi 6.8 peratus berbanding dengan Ogos 2020.

Melihat kepada sektor perkhidmatan, nilai jualan perdagangan borong dan runcit masih terkesan berikutan pelaksanaan sekatan pergerakan, iaitu menyusut 10.2 peratus tahun ke tahun pada Ogos 2021 berbanding dengan penyusutan 14.7 peratus pada Julai 2021, yang menandakan pertumbuhan negatif yang lebih baik. Sebaliknya, sektor pertanian menunjukkan trend penurunan dengan pengeluaran getah asli merosot 3.6 peratus pada Ogos berbanding dengan pertumbuhan dua angka sebanyak 16.3 peratus pada Julai 2021. Di samping itu, pengeluaran buah tandan segar pada September 2021 turut menyusut 10.4 peratus tahun ke tahun.

Mengulas berhubung pasaran buruh pada Ogos 2021, Dato’ Sri Dr. Mohd. Uzir menjelaskan bahawa bilangan penduduk bekerja terus meningkat bagi bulan keenam iaitu sebanyak 1.5 peratus atau pertambahan 223.1 ribu orang kepada 15.38 juta orang. Nisbah guna tenaga kepada penduduk yang menunjukkan kemampuan ekonomi untuk mewujudkan guna tenaga berada pada 65.2 peratus. Sementara itu, kadar pengangguran menurun 0.1 mata peratus kepada 4.6 peratus.

Tambah beliau, “Dari perspektif harga, pada bulan Ogos 2021, Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 2.0 peratus disumbangkan terutamanya oleh kumpulan Pengangkutan. Indeks Harga Pengeluar (IHPR) pengeluaran tempatan meningkat 11.3 peratus tahun ke tahun, didorong oleh indeks Perlombongan yang melonjak kepada 51.8 peratus”.

Ketua Perangkawan juga menyatakan, “Indeks Pelopor (IP) pada Ogos 2021 memberikan isyarat bahawa ekonomi Malaysia berkemungkinan besar semakin baik pada bulan-bulan berikutnya. IP meningkat pada 106.2 mata pada bulan rujukan kepada pertumbuhan negatif yang lebih baik iaitu 2.3 peratus tahun ke tahun selepas mencatatkan negatif 4.0 peratus pada Julai 2021. Pada Ogos 2021, IP mencatatkan kenaikan bulan ke bulan sebanyak 1.1 peratus disokong oleh kebanyakan komponen IP. Keadaan itu selari dengan peralihan lebih banyak negeri di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan lebih banyak aktiviti ekonomi kembali dibenarkan beroperasi dengan pematuhan kepada prosedur standard operasi. Seterusnya, pemulihan ekonomi akan dipacu oleh agenda jangka panjang global dan nasional sepanjang 2021 hingga 2025 seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia ke-12”.

Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin merumuskan bahawa semua pihak perlu berganding bahu untuk memastikan keseimbangan melindungi kesihatan dan kelangsungan kehidupan apabila Malaysia semakin hampir untuk beralih ke fasa endemik dalam masa terdekat. Kerjasama itu boleh memastikan ekonomi negara dapat dipulihkan dalam jangka masa terdekat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.