27 September 2021, 21:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pemilikan ekuiti korporat Bumiputera masih belum mencapai sasaran yang ditetapkan, iaitu sekurang-kurangnya 30 peratus pegangan dalam sektor berkenaan.

YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri menjelaskan bahawa status pemilikan ekuiti sektor korporat berasaskan nilai pasaran tahun 2019 menunjukkan pegangan ekuiti Bumiputera hanya mencapai 17.2 peratus.

Pegangan asing masih merupakan kumpulan terbesar dalam pemilikan ekuiti korporat negara, iaitu 45.5 peratus diikuti bukan Bumiputera (25 peratus) dan namaan (12.3 peratus).

Sehubungan dengan itu, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri turut menyatakan bahawa kerajaan akan memperkenalkan kerangka jaringan keselamatan ekuiti bagi memastikan penjualan saham atau syarikat Bumiputera hanya ditawarkan dan dijualkan kepada konsortium, syarikat atau individu Bumiputera yang lain.

“Di samping itu, pegangan dan pelupusan pemilikan oleh syarikat Bumiputera akan dikawal selia oleh kementerian dan agensi berkaitan dengan selaku pengawal selia sektor,” katanya ketika membentangkan Usul Mengenai RMK12 di Dewan Rakyat pada hari ini.

Dalam usaha menyelaras inisiatif tersebut, kerajaan bakal mewujudkan semula Bahagian Kemakmuran Bumiputera dengan mandat dan fungsi yang lebih jelas melalui penugasan semula pegawai pada setiap kementerian dan agensi kerajaan.

Satu rangka kerja tindakan pembangunan Bumiputera yang akan diwujudkan bagi menambah baik tadbir urus pelaksanaan agenda Bumiputera itu bakal diumumkan pada penghujung tahun ini.

Jelas beliau, daya tahan dan kemapanan perniagaan Bumiputera akan dipertingkatkan bagi mencapai sasaran 15 peratus sumbangan Perniagaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) Bumiputera kepada Keluaran dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2025.

Usaha mencapai sasaran tersebut disokong melalui penyediaan pembiayaan dan pelaksanaan program baharu, antaranya termasuklah dana Kemakmuran Bumiputera untuk syarikat Bumiputera dan Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi kontraktor Bumiputera.

Pembiayaan dan pelaksanaan program itu turut merangkumi usaha menarik penyertaan lebih ramai usahawan Bumiputera untuk menceburi bidang ekonomi digital dan industri yang mempunyai potensi pertumbuhan yang tinggi.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!