20 September 2021, 18:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

HULU TERENGGANU – Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengeluarkan kompaun berjumlah RM3.67 juta kepada peniaga dan orang awam di seluruh negara atas pelbagai kesalahan yang didakwa tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Menteri KPDNHEP, YB Datuk Rosol Wahid menjelaskan, kompaun yang dikeluarkan sebanyak 764 kes itu melibatkan pelbagai kesalahan di premis perniagaan bermula 1 Jun lalu di bawah pelaksanaan PKP dalam fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Sepanjang tempoh itu, KPDNHEP melakukan 228 223 pemeriksaan di premis perniagaan di bawah penguatkuasaan pemantauan SOP PKP Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Antara kesalahan yang direkodkan termasuklah gagal mendaftar masuk menggunakan buku dan aplikasi MySejahtera, menjalankan aktiviti tidak dibenarkan, gagal menyediakan penanda jarak satu meter dan tidak memakai pelitup muka,” jelas beliau.

Menurut beliau, KPDNHEP juga telah menggerakkan lebih 2000 penguat kuasa bagi memantau operasi sektor perniagaan dan peruncitan di seluruh negara sejak 16 Ogos lalu melalui “Ops Samar”. Pemantauan itu dilakukan bagi pematuhan SOP untuk kebenaran menjamu selera di restoran dan kedai makan seluruh negara yang pada ketika ini hanya membenarkan pelanggan yang lengkap dua dos vaksin COVID-19 sahaja.

Kesan ketidakpatuhan terhadap SOP ini boleh menyusahkan orang ramai. Menerusi “Ops Samar”, kita akan pastikan peniaga dan orang awam mematuhi SOP dan sekiranya gagal, tindakan kompaun boleh dikenakan terhadap mereka,” jelas YB Datuk Rosol.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.