6 Ogos 2021, 14:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Perbelanjaan pakej bantuan yang disalurkan atau diperuntukkan oleh kerajaan Malaysia merupakan antara terbesar di dunia berbanding dengan negara lain, seperti Indonesia, Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS).

Sejak penularan pandemik COVID-19 melanda negara, kerajaan mengumumkan lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi bernilai RM530 bilion.

Menurut Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Kewangan, pakej bantuan itu diperkukuhkan lagi dengan bajet terbesar dalam sejarah negara, iaitu Belanjawan 2021 yang bernilai RM322.5 bilion.

“Pada tahun 2020 sahaja, di tengah-tengah kegawatan ekonomi global yang dikatakan adalah paling teruk sejak perang dunia kedua, kerajaan masih komited dan mampu untuk melaksanakan pakej bantuan keseluruhan yang bernilai RM305 bilion atau 22.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Hal ini merupakan antara kadar terbesar berbanding dengan pakej rangsangan negara lain seperti Indonesia, Korea Selatan dan AS,” katanya.

Lapan pakej rangsangan ekonomi dan bantuan rakyat yang diumumkan setakat ini berpegang kepada empat elemen utama, iaitu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai usaha mengurangkan penularan wabak; memperkasa Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi membina ketahanan diri; memperkenalkan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi untuk memastikan kehidupan rakyat terpelihara dan memulih semula ekonomi; serta memperkenalkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) sebagai strategi peralihan keluar secara berfasa daripada krisis COVID-19.

Tambah Tengku Zafrul, Kementerian Kesihatan selaku institusi yang menerajui segenap aspek berkaitan dengan kesihatan awam telah dibekalkan peruntukan khas lebih daripada RM3.7 bilion, khususnya dalam perbelanjaan berkaitan dengan pandemik COVID-19 yang tidak termasuk perolehan vaksin.

Peruntukan itu antaranya melibatkan RM1.6 bilion di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN); RM1.4 bilion di bawah Belanjawan 2021, dan lebih daripada RM500 juta peruntukan tambahan di bawah pakej Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) Tambahan.

Malah, Kerajaan Persekutuan juga telah menyalurkan peruntukan khas kepada semua negeri bagi menangani wabak COVID-19 dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM 260 juta.

“Hal ini bertujuan untuk pembelian kit ujian saringan, kos logistik berkaitan dengan vaksin, meningkatkan kapasiti peralatan kesihatan dan perubatan serta wad unit rawatan rapi (ICU), dan juga menampung perbelanjaan elaun khas kepada sukarelawan kesihatan,” jelas Tengku Zafrul lanjut.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.