4 Ogos 2021, 13:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur, 3 Ogos 2021 – Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) menawarkan lima skim pembiayaan berjumlah RM5.6 bilion untuk sektor strategik utama, termasuklah pendigitalan, kemampanan, maritim dan logistik, pelancongan serta pengangkutan awam.

Hal ini merupakan sebahagian daripada tanda sokongan bank tersebut terhadap usaha pemulihan negara. BPMB mengalu-alukan projek dan perniagaan yang berdaya maju di bawah sektor berkenaan untuk menghantarkan permohonan mereka.

Skim pembiayaan yang pernah diumumkan oleh kerajaan itu menyaksikan sebanyak RM2.4 bilion pinjaman telah mendapat kelulusan untuk digunakan, sementara baki RM3.2 bilion sedia untuk digunakan kelak.

Pengerusi BPMB, Datuk Seri Nazir Razak berkata, pandemik COVID-19 telah mendatangkan impak teruk ke atas perniagaan dan industri.

Datuk Seri Nazir Razak, Pengerusi BPMB.

“Sebagai institusi kewangan pembangunan, BPMB akan memainkan peranan sebagai pemangkin untuk membantu perniagaan dan ekonomi pulih semula.

“BPMB akan tampil ke hadapan untuk menawarkan pembiayaan kukuh dengan melihat daya maju perniagaan dalam tempoh yang lebih panjang dan memberikan sokongan kepada syarikat pada tempoh ini.

“Sejak ditubuhkan, BPMB menjadi rakan kongsi yang kukuh buat perniagaan untuk menyokong pembangunan ekonomi Malaysia dan menambah baik kehidupan rakyat. Dibimbing oleh visi dan misi kami sebagai rakan pembangunan utama di Malaysia, kami menekankan tumpuan kami dengan mengambil kira keperluan penting negara buat masa ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi industri digital, BPMB menawarkan pembiayaan sehingga RM1 bilion untuk mentransformasikan keupayaan perindustrian Malaysia dengan menyokong ekosistem Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).

Sementara itu, Skim Pembiayaan Pembangunan Mampan (SDFS) pula menyaksikan peruntukan sekitar RM2 bilion yang disasarkan bagi tujuan pengambilalihan aset dan pembangunan infrastruktur.

BPMB turut menawarkan skim pembiayaan maritim dan logistik bernilai RM1.5 bilion yang terbuka untuk pembiayaan pengambilalihan kapal, pesawat, pembangunan pekarangan kapal, pembinaan pelabuhan dan juga logistik berkaitan sektor maritim dan aeroangkasa.

Turut diperkenalkan Skim Infrastruktur Pelancongan (TIS) dan Skim Pengangkutan Awam (PTS), yang masing-masing diberikan peruntukan bernilai RM1 bilion dan RM100 juta.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.