31 Julai 2021, 19:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur, 31 Julai 2021 – Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) bersama-sama Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) meneruskan usaha kesinambungan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sebelum ini.

Program Penyerahan Sumbangan 1000 Bakul Makanan dilaksanakan, khususnya kepada golongan yang terjejas disebabkan oleh pandemik COVID-19.

Dato’ Sri Dr. Sabin Samitah, Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM. (Sumber: The Edge Market)

Program yang berlangsung di Masjid Al-Qurtubi, Taman Sri Segambut, Kuala Lumpur ini disempurnakan oleh Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan Malaysia dan turut dihadiri oleh Dato’ Sri Dr. Sabin Samitah, Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM.

“Kerjasama ini sangat dialu-alukan dalam menterjemahkan usaha kerajaan untuk membantu dan meringankan beban rakyat yang terjejas akibat pandemik COVID-19,” kata Tengku Datuk Seri Utama Zafrul dalam kenyataan hari ini.

Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan Malaysia bersama-sama pasukan MOF-LHDNM.

Menerusi sumbang Program MOF-CSR MOF-LHDN Prihatin itu, penerima sumbangan melibatkan ahli kariah empat masjid di kawasan Segambut, Kuala Lumpur, iaitu Masjid Al-Qurtubi, Masjid Imam Al-Ghazali, Masjid Al-Ubudiah dan Masjid Al-Firdaus.

“Dengan adanya program sebegini, kebajikan mereka akan lebih terjamin dan terbela apabila menerima bantuan bekalan makanan dan keperluan asas yang mencukupi. Penerima sumbangan ini juga terdiri daripada kalangan rakyat pelbagai kaum yang diuruskan oleh empat buah masjid terpilih tersebut,” tambahnya lagi.

Bagi Dato’ Sri Dr. Sabin Samitah pula, LHDNM sentiasa memberikan sokongan terhadap penganjuran setiap program yang melibatkan kesejahteraan rakyat. Melalui program seumpama ini bukan sahaja mewujudkan hubungan antara LHDNM dengan rakyat yang lebih erat, malah sekali gus meningkatkan kesedaran bahawa peri pentingnya sumbangan cukai pendapatan untuk manfaat negara.

Beliau berharap agar inisiatif dan kerjasama sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan supaya lebih ramai rakyat dapat dibantu, khususnya golongan sasar yang benar-benar memerlukan bantuan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.