28 Jun 2021, 10:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pembiayaan bercampur-campur dilihat sebagai pilihan realistik untuk ditawarkan kepada perniagaan yang sedang bergelut disebabkan oleh impak perubahan iklim dan penularan pandemik COVID-19.

Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM).

Dalam sidang media, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) menekankan bahawa tidak cukup jika institusi kewangan hanya menggunakan instrumen tradisional dalam memenuhi pembiayaan bagi projek kelestarian.

Ujar beliau, sektor itu perlu berfikir secara kreatif dalam usaha membangunkan penyelesaian baharu dan inovatif, yakni dengan mengambil kira cabaran semasa yang dihadapi oleh perniagaan dan individu.

“Dalam menggabungkan pembiayaan konsesi dan pendanaan komersial, seperti gabungan dana yang bersifat dermawan atau instrumen pembiayaan sosial dan pinjaman tradisional, pendekatan pembiayaan campuran dapat mengelakkan beban hutang berlebihan yang mampu meningkatkan risiko pada masa depan.

“Terdapat juga peluang signifikan untuk institusi kewangan menyokong pemulihan hijau akibat pandemik menerusi peruntukan pembiayaan peralihan yang berkaitan dengan amalan mampan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama persidangan maya Jawatankuasa Bersama Perubahan Iklim (JC3).

Tambah Nor Shamsiah, sektor kewangan memainkan peranan dalam melancarkan peruntukan dan penyediaan sumber ekonomi.

Namun begitu, beliau melihat aspek pembiayaan ini terus menjadi cabaran utama kepada kebanyakan projek kelestarian.

Sehubungan itu, Nor Shamsiah meminta sektor kewangan untuk lebih berhati-hati dalam membiayai inisiatif kelestarian dan memberikan insentif pelaburan di sektor yang menyumbang kepada aspek rendah karbon.

“Pandemik ini memberikan amaran kepada kita bahawa pentingnya pembangunan lestari dan terdapat keperluan mendesak untuk lebih memberikan perhatian kepada kesihatan bumi.

“Walaupun kerajaan dan pembuat dasar sudah memberikan keutamaan terhadap usaha memerangi pandemik COVID-19, namun kejadian yang berkaitan dengan iklim terus meningkat,” jelasnya lanjut.

Sebagai langkah menyokong usaha kelestarian, beliau menegaskan bahawa BNM akan memuktamadkan pelannya berhubung pendedahan risiko iklim berwajib oleh institusi kewangan, pada tahun ini.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!