24 Jun 2021, 09:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Platform e-panggilan (e-hailing) dan penghantaran makanan, Grab mendedahkan bahawa pemandu dan peniaganya mampu menjana pendapatan sehingga A.S.$7.1 bilion atau sekitar RM29.5 bilion pada tahun lalu.

Menurut Laporan Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus Korporat (ESG) berkaitan dengan tahunan Grab pertama, didapati bahawa 46 peratus responden yang terlibat dalam kaji selidik itu tidak bekerja atau tidak mempunyai pekerjaan sebelumnya.

“Sebanyak 33 peratus rakan peniaga GrabFood direkodkan beroperasi secara dalam talian buat pertama kalinya dengan Grab. Hampir 600 000 perniagaan kecil menyertai GrabFood dan GrabMart pada tahun 2020. Manakala, sebanyak 59 peratus daripada keseluruhan pinjaman modal kerja yang dikeluarkan oleh Kumpulan Kewangan Grab pada tahun 2020 adalah daripada peniaga kecil.

Lebih daripada 1.7 juta rakan pemandu menyempurnakan program latihan yang dibantu oleh Grab. Program ini merangkumi kursus literasi digital, perlindungan data, literasi kewangan, komunikasi bahasa Inggeris dan banyak lagi,” jelas pihak pengurusan Grab dalam satu kenyataan berhubung dengan laporan itu.

Sehubungan dengan itu, Grab turut mengumumkan inisiatif baharu yang mengukuhkan komitmennya untuk mengurangkan pelepasan karbon dan jejak persekitaran syarikat. Antaranya, pengguna platform aplikasi tersebut tidak lama lagi boleh mengurangkan jejak karbon mereka apabila membuat perjalanan menggunakan Grab menerusi ciri pengimbangan karbon.

Dalam masa yang sama, Grab dan Hyundai Motor Group juga akan melancarkan program rintis Kenderaan Elektrik (EV) baharu agar pemilikan EV lebih mampu milik dan mudah diakses.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengasas bersama Grab, Anthony Tan tidak menafikan bahawa prestasi Grab berkaitan rapat dengan kebajikan komuniti dan perlindungan alam sekitar.

“Bagi memastikan perniagaan kami dapat terus berkembang dan berjaya dalam jangka panjang, kami perlu berusaha ke arah membina komuniti yang maju, yakni pekerja kami mempunyai peluang pendapatan yang mapan, di samping memelihara alam sekitar untuk generasi akan datang.

Laporan ESG pertama kami mencerminkan komitmen Grab ke arah membina perniagaan dengan paras terendah berganda, dan pada masa sama dapat memastikan ketelusan dan tanggungjawab terhadap pemegang kepentingan kami,” katanya menerusi kenyataan sama.

Berdasarkan kajian, Grab direkodkan telah melaburkan sebanyak A.S.$200 juta untuk GrabRental, iaitu program kereta sewanya sejak tahun 2016. Setakat hari ini, hampir satu daripada tiga buah kenderaan (31 peratus) menyediakan perkhidmatan pemanduan e-panggilan Grab di Singapura merupakan kenderaan elektrik atau hibrid.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.