22 Jun 2021, 22:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tanggal 22 Jun 2021, maka genaplah 65 tahun perjuangan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa yang bersifat semasa dan komersial. Pelan Strategik DBP 2021-2025 dibangunkan dengan matlamat strategik, iaitu mengindustrikan dan melestarikan bahasa dan persuratan Melayu.

Pelan Strategik DBP 2021-2025

Pertama: Bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi;

Kedua: Bahasa Melayu sebagai bahasa negara; dan

Ketiga: Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Dalam ucapan perasmian, Datuk Dr. Radzi Jidin, Menteri Kanan Pendidikan menunjukkan rasa bangga dan mengucapkan tahniah kepada DBP apabila berjaya menggalas tanggungjawab besar untuk memartabatkan bahasa Melayu selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Datuk Dr. Radzi Jidin, Menteri Kanan Pendidikan.

“Melihat akan teras pelan strategik DBP menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi membuktikan bahawa bahasa Melayu mempunyai nilai ekonomi dan komersial serta digunakan secara meluas dalam pelbagai sektor, terutamanya sektor perekonomian.

Bagi menjayakan pelan ini, komitmen, kesungguhan, kesepaduan, ketekunan dan kerjasama daripada semua pihak, khususnya pengurusan tertinggi dan warga kerja DBP amat diperlukan bagi merealisasikan visi, misi dan hala tuju organisasi DBP,” kata Datuk Dr. Radzi ketika perasmian berlangsung menerusi Facebook rasmi DBP.

Sementara itu, Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran, Ketua Pengarah DBP berkata selain status perundangan, nilai sesuatu bahasa juga berkait rapat dengan nilai ekonomi atau kemajuan sesebuah negara. Negara yang ekonominya berkembang pesat secara tidak langsung memberikan kesan kepada perkembangan dan kemajuan bahasanya.

Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran, Ketua Pengarah DBP.

Oleh itu, untuk mengekalkan kerelevanan bahasa Melayu dengan perkembangan semasa, usaha perlu dilaksanakan untuk terus menyuntik nilai ekonomi kepada bahasa Melayu. Pelan strategik ini diharapkan dapat menggalakkan industri berasaskan bahasa Melayu.

“Kesan pandemik COVID-19 ini hakikatnya membuka ruang baharu dan cara bekerja di DBP dengan mendigitalkan kebanyakan program dan dilaksanakan secara dalam talian. Ini merupakan naratif baharu yang dibawa oleh DBP untuk mengembang dan membina bahasa Melayu dengan menggunakan kaedah secara pendigitalan tanpa meninggalkan usaha penerbitan secara konvensional,” katanya.

Dengan tema kali ini “Aksara Nan Hidup Sepanjang Zaman”, DBP akan sentiasa komited mengembangkan kekayaan khazanah ilmu bahasa dan persuratan Melayu kepada masyarakat, di samping memastikan masyarakat menguasai pelbagai bidang ilmu dalam bahasa Melayu seiring dengan era Revolusi Industri 4.0 dan Masyarakat 5.0.

Dirgahayu DBP! Semoga usaha memartabatkan bahasa Melayu terus terpelihara.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi