27 Mei 2021, 14:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR, 27 Mei 2021 – Tahun 2021 membuktikan tahun kemajuan untuk Sunway City Iskandar Puteri dan NEC Corporation of Malaysia Sdn. Bhd. (NEC Malaysia), yakni NEC Malaysia menyokong ekonomi digital negara dengan menubuhkan Pusat Kecemerlangan Inovasi (CoE) pertamanya di Malaysia di Menara Sunway Big Box Office, Johor.

Dengan pengembangan empayarnya dari Singapura ke Wilayah Selatan Malaysia, CoE NEC Malaysia beroperasi sementara di Sunway Citrine Hub di Sunway City Iskandar Puteri sambil menunggu persiapan penuh Menara Sunway Big Box Office bagi memindahkan perkhidmatan pengurusan serta operasi pusat perhubungan untuk pelanggan mereka di Asia Tenggara mulai Januari 2023.

Gerard Soosay, Ketua Pegawai Eksekutif Sunway City Iskandar Puteri.

Menurut Gerard Soosay, Ketua Pegawai Eksekutif Sunway City Iskandar Puteri, perjanjian penyewaan antara pemaju dengan NEC Malaysia dapat memberikan kebaikan kepada rakyat Malaysia dengan mewujudkan peluang pekerjaan, khususnya dalam kawasan perbandaran bersepadu itu, seterusnya menyumbang terhadap pertumbuhan ekonomi pada masa yang sama.

“Pihak Sunway berbesar hati kerana NEC Malaysia memilih Menara Sunway Big Box Office sebagai lokasi pilihan untuk menubuhkan pusat perhubungan serantau pertama di Malaysia. Dengan peluasan operasi NEC Malaysia ke Johor, kami yakin mereka dapat mencakupi pelanggan di rantau Asia Tenggara dengan memberikan perkhidmatan yang lebih cekap kepada pelanggan,” kata Gerard dengan yakin.

Chong Kai Wooi, Pengarah Urusan NEC Malaysia.

Tambahan lagi, Chong Kai Wooi, Pengarah Urusan NEC Malaysia itu sendiri berkata, Sunway City Iskandar Puteri merupakan bandar yang berkembang pesat, maka menjadi lokasi ideal untuk mereka menjalankan pembangunan bandar pintar dan mencapai pembangunan lestari di Malaysia dan rantau ASEAN. Pelaksanaan projek ini diharapkan dapat mengembangkan teknologi perkhidmatan teras digital inovatif dan perkhidmatan yang memberikan nilai sosial yang lebih besar pada masa depan.

“CoE baharu di Menara Sunway Big Box Office, lebih menumpukan kepada perkhidmatan pengurusan dan penyelesaian bandar pintar, selain membantu membangun, serta melengkapkan bakat tempatan dengan kemahiran yang diperlukan untuk berjaya dalam kebiasaan baharu. Kami ingin membantu rakyat Malaysia dalam menjadikan negara digital yang inklusif menerusi CoE dan penyelesaian terkemuka di dunia,” kata Chong Kai Wooi ketika sidang media berlangsung.

Terletak di taman peruncitan format besar pertama Sunway, NEC Malaysia menggunakan keseluruhan tingkat dua daripada 12 tingkat menara pejabat, dengan keluasan lantai kasar sekitar 20 474 kaki persegi dan keluasan lantai bersih sekitar 17 050 kaki persegi. Pembangunan Menara Sunway Big Box Office dijangkakan siap sepenuhnya menjelang suku kedua tahun hadapan dan membolehkan NEC Malaysia beroperasi pada awal Januari 2023.

“Kami yakin Menara Sunway Big Box Office dapat meningkatkan reputasinya oleh sebab tawarannya yang berkualiti, NEC Malaysia memilih untuk bertempat di Sunway City Iskandar Puteri juga membuktikan bahawa perbandaran kami bukan hanya untuk didiami, malah merupakan bandar yang menawarkan potensi untuk berkembang dengan kukuh menerusi langkah penempatan operasi organisasi tempatan dan antarabangsa,” kata Gerard.

Sebagai bandar pintar kedua lestari di Johor, Sunway City Iskandar Puteri bukan sahaja dapat membantu NEC Malaysia dalam meningkatkan imej korporatnya, malahan dapat menyatupadukan kelestarian dalam sesebuah syarikat. Selain itu, dengan kewujudan akses yang pantas bagi infrastruktur awam untuk memastikan kelancaran transit, perbandaran ini terletak lima kilometer dari Pautan Kedua Malaysia-Singapura melalui Coastal Highway Southern Link (CHSL), yang turut menyediakan perkhidmatan bas dari Johor ke Singapura, SoCar dan perkhidmatan bas ulang-alik Iskandar Puteri. Hal ini memudahkan perjalanan bagi pengguna yang kerap pergi ke Sunway City Iskandar Puteri.

Pembandaran infrastrukturnya bukan sahaja dirancang dengan strategik malah pemaju juga menawarkan pelbagai kemudahan, termasuklah XPark Sunway City Iskandar Puteri (satu daripada taman tema ekstrem dan pengembaraan terbesar di Malaysia), sebuah pusat pendidikan untuk orang dewasa yang bekerja dan anak-anaknya, kedai runcit dan banyak lagi, sambil memastikan keselamatan komuniti melalui perkhidmatan keselamatan yang disediakan sepanjang masa.

“Kami yakin inisiatif mengimbangi antara kerja dan kehidupan, hal ini dapat mewujudkan keharmonian dan menjalinkan hubungan antara satu sama lain dalam syarikat. Penyewa akan mempunyai banyak pilihan, seperti wujudnya banyak gerai makanan dan minuman, aktiviti riadah dan sukan untuk kerja berkumpulan. Sunway Hotel Big Box yang akan dibuka tidak lama lagi juga dilakukan untuk menampung rakan kongsi perniagaan dan banyak lagi.

“Pada tahun 2018, kami telah memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan NEC Asia Pacific Ltd. bagi meningkatkan keselamatan pembandaran, termasuklah menggunakan analisis video dan biometrik. Kini, kami berbangga melihat pasukan kami berkembang di Sunway City Iskandar Puteri. Terdapat banyak lagi inisiatif yang kami perlu lakukan sebagai rakan kongsi dan kami berharap dapat mencipta inovasi baharu demi membangunkan masyarakat dan negara yang maju,” kata Gerard.

Menara Sunway Big Box Office dipilih sebagai lokasi pilihan untuk menubuhkan Pusat Kecemerlangan Inovasi (CoE), yakni pusat perhubungan serantau yang pertama di Malaysia.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.