18 April 2021, 15:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Oleh Mariatul Qatiah Zakaria

KUALA LUMPUR, 17 April 2021 – Kraf tangan Malaysia menyasarkan jualan fizikal meningkat RM1.8 juta hingga RM2 juta tahun ini, termasuklah tujuh buah pusat beli-belah setiap negeri berbanding dengan RM1.7 juta tahun lalu sempena promosi jualan Warna-warni Hari Raya Aidilfitri 2021.

Lawatan Ibrahim Ismail (berbaju hijau muda) ketika lawatan bersama-sama media di Bazar Warna-Warni Hari Raya Aidilfitri 2021.

Ketua Pengarahnya, Ibrahim Ismail berkata, menerusi tema “Kraf di Hati, Hari Raya Aidilfitri Dinanti” dengan penyertaan seramai 200 orang usahawan dari seluruh negara, sasaran tersebut tidak mustahil dapat direalisasikan.

“Promosi ini merupakan inisiatif dan peluang pertama yang dapat diadakan secara fizikal bagi membantu usahawan ketika pandemik COVID-19 dan seramai 200 usahawan kraf di seluruh negara terlibat dalam acara ini.

Waktu ini merupakan waktu paling tepat untuk melaksanakan program selepas kerajaan membenarkan aktiviti secara fizikal dijalankan, namun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Hal ini sekali gus memberikan limpahan ekonomi kepada pelbagai pihak bagi meningkatkan pendapatan, terutamanya kepada golongan usahawan B40,” katanya dalam lawatan bersama-sama media pada promosi berkenaan di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam pada itu, tahun ini Warna-warni Hari Raya Aidilfitri 2021 menampilkan konsep menjadikan produk kraf bukan sekadar cenderamata, sebaliknya turut menerapkan kraf sebagai gaya hidup yang boleh diguna pakai dalam musim perayaan.

Menurut Ibrahim, pihaknya mahu mendidik masyarakat supaya menggunakan produk kraf ini pada musim perayaan. Lagipun secara tradisinya, pemakaian masyarakat Melayu ialah baju Melayu, samping, songket dan capal memang merupakan produk kraf.

Tambah beliau, hal ini secara tidak langsung membuka jalan kepada usahawan kraf pelbagai bidang, menerokai pasaran baharu ini.

Program ini berlangsung selama 18 hari, iaitu bermula pada 15 April hingga 2 Mei. Gimik pelancaran akan diadakan pada 19 April dengan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Nancy Shukri memasak bubur pedas Sarawak. Promosi ini sebenarnya telah diadakan pada tahun 2003 lagi, namun tergendala kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

Selain Kompleks Kraf Kuala Lumpur, tujuh pusat beli-belah yang turut terlibat dalam promosi ini ialah  East Coast Mall, Pahang; Kuala Terengganu City Centre (KTCC) Mall, Terengganu; AEON Mall Kuching, Sarawak; AEON Mall Kinta City, Perak; AEON Mall Nilai@Seremban 2, Negeri Sembilan; Mydin Mall Bertam, Pulau Pinang; dan Freeport A’Famosa Outlet, Melaka.

Terdapat pelbagai aktiviti turut diadakan, antaranya termasuklah demonstrasi anyaman, pertunjukan fesyen dan sebagainya. Selain promosi atau program fizikal, kraf tangan turut mempunyai platform digital untuk usahawan melalui e-Kraf Bazar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.