12 April 2021, 07:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KLANG, 11 April 2021 – Majlis Makan Malam Gala LICTA 2020 yang berlangsung secara gilang-gemilang di Hotel Wyndham Acmar merupakan majlis anugerah yang berprestij untuk meraikan pemenang usahawan Malaysia, sekali gus membina lebih banyak usahawan dan ahli perniagaan yang berjaya pada peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Barisan Tetamu Kehormat.

Perasmian majlis ini disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Alexender Nanta Linggi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, bersama-sama tetamu terhormat YB Dato’ Haji Mohd. Rashid Hasnon, Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP), dan YBhg. Dato’ Lee Chee Weng, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Lang International Corporate Titan Awards (LICTA).

YB Dato’ Sri Alexender Nanta Linggi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Dalam ucapan perasmian, YB Dato’ Sri Alexender menzahirkan rasa kebanggaannya terhadap usahawan dan ahli perniagaan dengan setiap pencapaian yang diraih kerana merekalah menjadi nadi dan benteng dalam pembangunan ekonomi negara. Sejajar dengan tema  aspirasi Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030), maka bertepatanlah hasrat kerajaan dalam usaha melakar hala tuju keusahawanan negara dengan menggariskan strategi penting ke arah sebuah negara keusahawanan yang unggul menjelang tahun 2030.

“Anugerah LICTA ini dilihat begitu signifikan dalam meransang pertumbuhan ekonomi negara. Dalam hal ini, saya bersedia membantu dan memberikan sokongan padu terhadap sektor perusahaan dan keusahawanan demi merealisasikan hasrat kejayaan bersama,” ujar YB Dato’ Sri Alexender.

Selaku Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan LICTA yang menjadi penggerak dalam menjayakan anugerah ini, YBhg. Dato’ Lee mengucapkan kata alu-aluan tahniah kepada pemenang dan syarikat kerana berani menyahut cabaran dengan menunjukkan minat yang tinggi untuk terlibat dalam pencalonan anugerah yang sentiasa dinanti-nantikan saban tahun sejak penganjurannya. Selain itu, beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakan kerjasama yang menjadi tunjang utama dalam usaha mengangkat kredibiliti usahawan di Malaysia.

YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP.

Sementara itu, Datuk Abang Sallehuddin turut berbesar hati dapat bekerjasama dengan penganjuran ini. Secara tidak langsung, DBP diberikan kepercayaan sebagai rakan sinergi selama tiga tahun berturut-turut oleh Syarikat SAHABAT SMI Consulting Sdn. Bhd., serta mengangkat majalah Dewan Ekonomi sebagai majalah rasmi acara ini.

Seiring dengan pascapandemik COVID-19, anugerah LICTA 2020 pada kali ini bertemakan “Kebiasaan Baharu, Peluang Baharu”.
Ahli jawatankuasa pemilihan LICTA.

“Penganjuran LICTA bukan sekadar suatu persembahan anugerah semata-mata, malah merupakan proses pengiktirafan bagi mengenal pasti pencapaian sebenar perusahaan dan usahawan yang cemerlang, tulen dan dipercayai, sekali gus pemenang yang diiktiraf pada malam ini mampu menjadi tokoh korporat berwibawa yang mampu memberikan inspirasi kepada masyarakat untuk terus berjaya dalam bidang keusahawanan,” katanya.

Majlis Amanah Rakyat (MARA) – Agensi Pembangunan PKS Terbaik.
Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) – Agensi Pembangunan Sosioekonomi Terbaik.
Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad – Koperasi Terunggul Tahun 2020.
PMB Investment Berhad
Syarikat Pengurusan Dana – Syarikat Pengurusan Dana Syariah Cemerlang.

“Walaupun menghadapi situasi dan krisis yang mempengaruhi kebanyakan perniagaan, percayalah akan ada cahaya di hujung terowong dan hari ini terbukti kita tetap berdaya tahan dalam menghidupkan kembali ekonomi Malaysia tatkala berhadapan dengan persekitaran perniagaan pascapandemik COVID-19,” tambah YB Dato’ Rashid.

Ternyata, penganjuran LICTA banyak melakarkan nama usahawan ke suatu jenama yang mempunyai akreditasi dan berkredibiliti, seterusnya mampu menjadi pemangkin kepada proses transformasi ekonomi inklusif dan pembangunan komuniti usahawan negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.