Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) mempelawa syarikat berkaitan dengan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan dengan kerajaan (GLIC) untuk bekerjasama membangunkan ekonomi bumiputera.
DPMM menyambut baik hasrat YAB Perdana Menteri selaras dengan usaha merealisasikan objektif Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35), iaitu Pelan Tindakan Ekonomi Bumiputera 2035.
DPMM sebagai neksus antara kerajaan dengan usahawan bumiputera yakin mampu menggembleng aspirasi kerajaan melalui kerjasama strategik dengan semua pihak berkepentingan.
Antara sasaran utama PuTERA35 termasuklah meningkatkan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) perusahaan bumiputera daripada 8.1% pada tahun 2022 kepada 15% menjelang tahun 2035.
Bagi merealisasikan visi ini, DPMM telah menggerakkan inisiatif jangka panjang yang dinamakan Gerakan Ekoniaga Madani (GEMA) pada tahun ini.
GEMA bertujuan memperkukuh hubungan simbiotik antara DPMM dengan GLC, GLIC dan sektor swasta demi manfaat ekonomi bumiputera.
Tiga teras utama GEMA ialah Gerakan Penguasaan Perniagaan, Gerakan Kajian dan Penyelidikan dan Gerakan Pengukuhan Aspirasi Madani.
DPMM percaya bahawa usaha meningkatkan kapasiti dan prestasi ekonomi bumiputera bukanlah sesuatu yang mustahil, tetapi memerlukan iltizam dan komitmen yang kuat.
Sebagai contoh, pembelian produk dan perkhidmatan sokongan daripada komuniti bumiputera untuk kegunaan GLC, GLIC, dan agensi kerajaan merupakan satu langkah yang penting.
DPMM mencadangkan inisiatif seperti ini diberikan penjenamaan khas dengan nilai tahunan yang berpotensi mencapai bilion ringgit.
Inisiatif ini bukan sahaja memberikan peluang kepada usahawan bumiputera untuk meningkatkan kualiti, kapasiti dan keupayaan mereka, malah akan menghasilkan limpahan ekonomi yang besar.
Usaha ini juga bertepatan dengan saranan YAB Perdana Menteri agar produk kraf tempatan dijadikan cenderahati wajib sempena ASEAN 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Sebagai penaung kepada usahawan bumiputera sejak penubuhannya pada tahun 1938, DPMM sedia memainkan peranan aktif dalam mengenal pasti kumpulan usahawan yang berkelayakan.
DPMM juga bersedia menubuhkan konsortium dalam sektor khusus seperti pembinaan, penyelenggaraan, makanan dan minuman halal, pakaian, ubatan, percetakan, perabot dan sebagainya.
DPMM yakin bahawa kerjasama erat dengan GLC dan GLIC mampu memberikan nilai tambah kepada penguasaan ekonomi bumiputera khususnya dan kepada ekonomi negara amnya.
DPMM komited untuk terus menjadi pemangkin aspirasi kerajaan dan rakyat demi pembangunan ekonomi bumiputera yang inklusif dan mampan.