Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMeru – Menteri Besar Perak, YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad melancarkan empat buah buku Siri Penerbitan Perak Sejahtera 2030 terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru, semalam.
Empat judul buku tersebut ialah Data Raya Pemangkin Pembuatan Keputusan, yang mengetengahkan tema teknologi dan data sebagai asas penting dalam pembuatan keputusan strategik; Revolusi Industri 4.0: Pembangunan Kandungan Digital Kreatif, yang membincangkan tema inovasi dan ekonomi digital berasaskan kreativiti; Bantuan Awal Psikologi: Pengurusan Bencana, yang mengupas tema kesihatan mental dan pengurusan krisis untuk menghadapi bencana dan Isu dan Dilema: Ke Arah Bandar Mesra OKU, yang memfokuskan tema inklusiviti dan pembangunan mesra orang kurang upaya (OKU).
Menurut YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad, penerbitan ini bukan sekadar bahan bacaan ilmiah, tetapi turut mencerminkan kesungguhan pemikir dalam menyediakan sumber ilmu yang penting. Malahan beliau mengharapkan buku ini dapat menjadi rujukan dalam membantu negeri Perak menghadapi cabaran pembangunan serta merealisasikan matlamat Pelan Perak Sejahtera 2030.
“Setinggi-tinggi penghargaan diberikan kepada DBP atas kerjasama erat dan bantuan kepakaran dalam merealisasikan siri penerbitan ini. Semoga penerbitan ini menjadi rujukan yang bermakna serta bermanfaat kepada semua lapisan masyarakat,” kata beliau ketika ditemui media selepas merasmikan majlis Perak Economic Outlook 2025.
Beliau turut menyatakan bahawa kesemua naskhah terbitan DBP ini akan diedarkan dan dipasarkan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak serta DBP.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, YBrs. Tuan Haji Md Johari Hasan berkata, kerjasama erat antara DBP dengan Kerajaan Negeri Perak dalam siri penerbitan ini mencerminkan sinergi yang diperlukan untuk mencipta perubahan positif dan terangkum.
“Karya ini bukan sahaja akan menjadi rujukan berharga bagi para pembuat dasar, malah turut mendidik masyarakat umum tentang pelbagai isu kritikal seperti teknologi, keterangkuman dan kesihatan mental. Semoga usaha ini menjadi pencetus kepada lebih banyak inisiatif yang menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara secara selari dan menyeluruh,” ujar beliau.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil; Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, YBhg. Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), YBhg. Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din; Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia, Dr. Apurva Sanghi; Penasihat Kanan SKMM, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Annuar Zaini; Ketua Pegawai Eksekutif DPCH, YBrs. Encik Mohamad Suhaimi Mohamad Tahir; Pengarah Urusan SKMM, YBhg. Dato’ Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus dan Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, YBrs. Encik M Azahari Edin.