Diterbitkan pada 20 Disember 2024, 12:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Meru – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Digital Perak Corporation Holdings (DPCH) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bertujuan untuk membantu mempertingkatkan infrastruktur digital, pemerkasaan pendidikan digital serta penyediaan kemudahan komuniti pintar dan hijau.

Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil berkata MoU ini juga bertujuan untuk memudahkan pelaksanaan program bandar pintar di bandar raya Ipoh.

“Menerusi MoU tersebut, liputan Internet di Perak akan ditambah baik bagi menyokong Pelan Perak Sejahtera 2030 dalam penyediaan pelan infrastruktur komunikasi di lokasi pembangunan yang dipersetujui,” ujar beliau dalam majlis Perak Economic Outlook 2025 yang diadakan di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru semalam.

Di samping itu, YB Fahmi menjelaskan bahawa SKMM akan turut menawarkan khidmat nasihat teknikal kepada DPCH yang berkaitan dengan infrastruktur digital, jaringan, liputan, keselamatan siber dan pencegahan penipuan dalam talian.

Turut dilaksanakan di bawah MoU ini ialah penerokaan kerjasama berkaitan dengan e-dagang serta latihan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Perak yang menyasarkan pembabitan komuniti setempat di kawasan NADI.

“Inisiatif yang disebutkan adalah penting dalam menjadikan bandar raya Ipoh sebuah bandar raya yang bukan sahaja efisien dan inovatif, bahkan juga lestari. Melalui usaha kolektif, kerajaan negeri dan persekutuan boleh membuka potensi penuh bandar pintar, memacu inovasi, mengubah industri dan membentuk Malaysia yang lebih terhubung,” jelas beliau.

“Semoga pelaksanaan bandar pintar ini menjadi perintis kepada satu era baharu bagi Ipoh agar setanding dengan bandar pintar lain di Malaysia,” tambah beliau lagi.

Sebagai rekod, Perak Economic Outlook 2025 bertemakan Pengukuhan Ikatan bersama Rakan Industri menggariskan elemen penting seperti ekonomi digital, pembuatan keputusan berpacukan data dan pemerkasaan pihak berkuasa tempatan. Elemen ini juga selaras dengan komponen dalam pelaksanaan bandar pintar terutamanya di bandar raya Ipoh.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Besar Perak, YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, YBhg. Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Pengerusi SKMM, YBhg. Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din; Penasihat Kanan SKMM, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Annuar Zaini; Ketua Pegawai Eksekutif DPCH, YBrs. Encik Mohamad Suhaimi Mohamad Tahir, Pengarah Urusan SKMM, YBhg. Dato’ Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Tuan Haji Md Johari Hasan dan Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, YBrs. Encik M Azahari Edin.

Kredit Foto: Arina Musthafa
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi