Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Malaysia dan Thailand memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang tenaga, infrastruktur dan ekonomi digital melalui Konsultasi Tahunan Ketujuh.
Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Thailand, Yang Mulia Paetongtarn Shinawatra, menegaskan bahawa pentingnya usaha bersama untuk memastikan pembangunan mampan kedua-dua negara tercapai.
Malaysia dan Thailand terus mengukuhkan hubungan melalui Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand (MTJDA) yang memainkan peranan penting dalam menjamin bekalan gas kepada kedua-dua negara. Perdana Menteri Thailand turut mengucapkan terima kasih atas sokongan Malaysia semasa krisis kekurangan bekalan gas pada tahun 2023.
Selain itu, kedua-dua negara menyokong penuh inisiatif Grid Tenaga ASEAN untuk mempromosikan masa depan tenaga yang lebih bersepadu dan lestari di rantau ini.
Projek rel berkembar antara Ipoh-Padang Besar dan Padang Besar-Hat Yai menjadi antara agenda utama. Kedua-dua pemimpin mengarahkan agensi berkaitan untuk mempercepat perbincangan berhubung memorandum persefahaman (MoU) berkaitan dengan mod pergerakan barangan dan penumpang rentas sempadan.
Malaysia dan Thailand juga bersetuju untuk menyelaras zon ekonomi khas di kawasan sempadan seperti Bukit Kayu Hitam di Kedah dan Wilayah Perindustrian Songkhla di Thailand. Usaha ini bertujuan untuk menyelaraskan aktiviti ekonomi dan meningkatkan daya saing di kawasan sempadan.
Ekonomi digital turut menjadi keutamaan bagi kedua-dua negara, dengan penekanan kepada inisiatif teknologi menerusi MoU antara Digital Economy Promotion Agency (DEPA) Thailand dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC). Sementara itu, industri halal kedua-dua negara akan terus diperkuat melalui promosi eksport bersama, penyelidikan dan pembangunan produk halal. Malaysia turut menawarkan kursus latihan untuk pegawai Thailand bagi membantu pembangunan ekosistem halal di negara itu.
Kedua-dua pemimpin bersetuju untuk meneroka lebih banyak kempen promosi pelancongan bersama yang boleh memberikan manfaat kepada industri pelancongan kedua-dua negara. Dalam masa yang sama, Thailand berterima kasih kepada Malaysia atas komitmennya menawarkan peluang latihan kepada masyarakat di wilayah sempadan Thailand di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).
Konsultasi Tahunan Ketujuh ini menunjukkan komitmen berterusan Malaysia dan Thailand untuk memastikan manfaat daripada kerjasama strategik ini dapat dinikmati oleh rakyat kedua-dua negara dan serantau.