Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur — Persidangan Meja Bulat Halal Peringkat ASEAN (ASEAN Halal Roundtable Dialogue), yang bakal berlangsung pada 7 Disember ini, diadakan dengan matlamat utama untuk mewujudkan Sekretariat Halal ASEAN. Sekretariat ini akan berfungsi sebagai platform bagi menyelesaikan isu pemasaran produk halal, melibatkan penyertaan dan kerjasama dewan perdagangan di rantau ASEAN.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja ASEAN Halal Roundtable Dialogue, YBrs. Tuan Haji Mohd Yahya Mat Sahri, merangkap wakil Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) menyatakan bahawa inisiatif ini adalah usaha untuk menyatukan dewan perdagangan dan perniagaan ASEAN bagi memperkukuh kedudukan industri halal pada peringkat global.
Dalam wawancara bersama program Malaysia Petang Ini di BernamaTV semalam, beliau menyatakan, “Kita telah mendapat sambutan baik daripada dewan perdagangan daripada kesemua 10 negara ASEAN. Delegasi masing-masing akan hadir untuk membincangkan strategi mempromosikan industri halal rantau ini ke peringkat dunia.”
Menurut beliau, pendekatan ini bagi memastikan isu sebenar serta inovasi dalam sektor halal ditangani dengan lebih berkesan kerana penganjur dan peserta terdiri daripada mereka yang aktif dan berpengalaman dalam bidang tersebut.
Potensi pasaran halal dijangka mencecah RM5.4 bilion, dengan tumpuan bukan hanya kepada pengguna Muslim tetapi juga masyarakat umum. Hal ini menunjukkan keunikan industri halal, yang bukan sekadar berkaitan dengan kaedah penyembelihan, tetapi juga aspek kebersihan, ketertiban dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pensijilan halal.
Delegasi Malaysia, termasuk wakil daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Perbadanan Pembangunan Halal (HDC), akan berkongsi pengalaman dan sejarah kejayaan pensijilan halal Malaysia, yang diiktiraf pada peringkat global.
“Pensijilan halal Malaysia adalah antara yang diakui di dunia. Oleh itu, Malaysia akan berkongsi kepakaran ini bagi memperkukuh pemahaman dan kerjasama dalam kalangan negara ASEAN,” ujar beliau.
Persidangan ini dijangka membuka jalan kepada pertumbuhan dan pengukuhan industri halal, menjadikan ASEAN sebagai hab halal utama dunia.